Isnin, 24 Julai 2017 | 12:52pm
DATUK Seri Najib Tun Razak ketika sessi pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat bangunan Parlimen. - Foto Yazit Razali
DATUK Seri Najib Tun Razak ketika sessi pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat bangunan Parlimen. - Foto Yazit Razali

Manfaat projek MRT untuk semua - PM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) memberi memanfaatkan penduduk setempat selain kebaikan kepada kawasan yang tidak mempunyai jajaran sistem berkenaan.

Datuk Seri Najib Razak, berkata kemudahan seperti bas pengantara yang bergerak merangkumi radius perkhidmatan sejauh lima kilometer (km) dapat dimanfaatkan penduduk di kawasan berkenaan.

 

Perdana Menteri berkata, kesan pembinaan MRT dapat mengurangkan kesesakan jalan raya sekali gus memudahkan dan melancarkan perjalanan selain menjimatkan masa penduduk setempat.

 

"Dalam kita sedang menunggu pelaksanaan 'line' (laluan) ketiga siap merangkumi keseluruhan Lembah Klang sekali gus menyaksikan MRT memenuhi perkhidmatan menyeluruh.

 

"Beberapa kebaikan yang boleh dinikmati oleh mereka yang tiada jajaran adalah 300 bas pengantara yang bergerak dalam lingkungan radius 5 km.

 

"Begitu juga kemudahan 'Park n Ride' di 14 stesen MRT dengan 7,800 lot parkir untuk letak kenderaan.

 

"Dijangkakan apabila sistem ini siap sepenuhnya, 160,000 kenderaan berkurangan di aras jalan raya di Kuala Lumpur. Tentunya, ia menjimatkan masa semua di ibu kota, " katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Najib menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berhubung impak sistem MRT yang dapat dibangunkan tanpa membabitkan sebarang perjanjian konsesi serta kejayaan menyiapkan projek dengan kos yang lebih rendah berbanding sasaran awal serta masih mengikut jadual.

Mengulas mengenai kos penjimatan pembinaan projek MRT, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MRT SBK dapat disiapkan menepati jadual dengan penjimatan RM2 bilion daripada kos asal RM23 bilion kepada RM21 bilion.

 

Sehubungan itu, beliau meminta pihak MRT menyediakan maklumat tambahan mengenai kos keseluruhan projek berkenaan untuk pengetahuan umum.

 

Katanya, ia adalah contoh terbaik untuk projek yang dibiayai secara langsung oleh kerajaan bukan menggunakan konsesi.

 

"Kelebihan projek yang dibiayai secara langsung adalah kerajaan dapat mengawal dan mengawasi projek dengan lebih ketat serta rapi dengan menggunakan struktur projek yang baik.

 

"Struktur yang baik dari segi tadbir urus, pembiayaan, mahupun pelaksanaan dengan nyata menjadi faktor yang membawa kejayaan kepada projek MRT.

 

"Struktur pelaksanaan projek yang dipakai untuk projek ini iaitu dengan pelantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP) juga faktor yang penting selain mengawasi prestasi semua kontraktor, PDP juga menampung risiko apabila denda akan dikenakan jika projek tidak dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan ataupun kos melebihi sasaran, " katanya.

Berita Harian X