Ahad, 23 Julai 2017 | 11:06am
DR MUSA Mohd Nordin (kiri) menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA) daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (tengah) di Istana Dolmabahce, Istanbul, semalam.

Kegigihan Dr Musa diiktiraf dunia

KUALA LUMPUR: Pakar Kanak-kanak negara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA) di Istana Dolmabahce, Istanbul, semalam.

Anugerah disampaikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kemanusiaan ahli pediatrik dan neonatologi itu terhadap kesihatan serta kesejahteraan manusia sejagat.

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr Jeffrey Abu Hassan dalam kenyataan berkata, antara program dilaksanakan Dr Musa adalah membantu rawatan masyarakat yang kurang akses perubatan seperti Orang Asli, pelarian dan pendatang tanpa izin.

Katanya, IMAM adalah rakan tempatan FIMA, badan induk Persatuan Perubatan Islam meliputi 41 negara dengan rekod prestasi yang kukuh dalam pelbagai projek kesihatan amal di seluruh dunia.

"Dr Musa adalah ahli FIMA dan kami bangga dengan pencapaian menakjubkan ini. Beliau juga adalah Presiden FIMA dari tahun 2005 hingga 2009 dan kini Pengerusi Majlis Penasihat FIMA," katanya .

Dalam kenyataan akhbar sama, Dr Musa berkata, kejayaannya bukan dicapai seorang diri, sebaliknya atas komitmen kepemimpinan dan anggota IMAM serta pihak yang membantu program dilaksanakannya.

"Dengan rendah diri saya menerima anugerah ini, tetapi saya percaya penghargaan sebenar adalah kepada semua pihak yang membantu menjayakan program IMAM dan FIMA... kejayaan ini adalah milik bersama," katanya.

Berita Harian X