Jumaat, 21 Julai 2017 | 6:57pm

Penumpang KLIA diunjur terus bertambah

SEPANG: Jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan sebanyak 15.8 peratus pada suku pertama tahun ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali, berkata, terminal utama KLIA menunjukkan peningkatan sebanyak 23.3 peratus manakala klia2 meningkat sebanyak 7.2 peratus.

"Peningkatan ini sekali gus menjadikan jumlah penumpang di kedua-dua terminal mencecah sehingga 28 juta penumpang dalam tempoh enam bulan yang lalu.

"Pergerakan trafik penumpang pada suku pertama tahun ini sangat memberangsangkan dan kita menjangkakan ia akan terus meningkat pada suku kedua kelak," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun KLIA ke-19 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainol Mohd Isa.

Badlisham berkata, pihaknya akan terus mengkaji semula sasaran pertumbuhan penumpang dan mempertingkatkan lagi kemudahan di semua lapangan terbangnya.

"Walaupun berlaku peningkatan penumpang di terminal utama KLIA, kita tidak nafikan lapangan terbang lain mengalami pengurangan jumlah penumpang seperti di Labuan, akibat sektor perniagaan minyak dan gas yang merudum.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan pergerakan trafik penumpang di semua lapangan terbang milik MAHB meningkat antara 6.5 peratus hingga 8 peratus," katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya sedang menambah baik dan akan membuka surau tambahan, selain melaksanakan projek pengubahsuaian 131 tandas di KLIA.

"Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 dan kita akan pastikan penumpang selesa dengan setiap kemudahan yang disediakan di sini," katanya.

Berita Harian X