Jumaat, 21 Julai 2017 | 12:21am
ABDUL Shukur (dua dari kiri) bersama Zulyadain (kiri) mengunjungi Amiruddin yang hidup sebatang kara di sebuah pondok usang di kawasan belukar berhampiran Taman Sri Putra Mas. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ABDUL Shukur (dua dari kiri) bersama Zulyadain (kiri) mengunjungi Amiruddin yang hidup sebatang kara di sebuah pondok usang di kawasan belukar berhampiran Taman Sri Putra Mas. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Amiruddin ke pusat jagaan JKM

SUNGAI BULOH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memindahkan warga tua yang tinggal seorang diri dalam keadaan menyedihkan di sebuah pondok usang di kawasan belukar berhampiran Taman Sri Putra Mas, di sini, ke pusat jagaannya di Cheras.

Pegawai JKM, Zulyadain Lilmat, berkata pihaknya dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus, yang memohon penempatan Amiruddin Zamzuddin, 79, yang ditemui orang awam tidak mampu menguruskan diri kerana faktor kesihatan.

"Pihak kami sudah membawa Amiruddin membuat pemeriksaan kesihatan sebelum memindahkannya ke pusat jagaan warga emas JKM.

"Maklumat awal diterima, beliau tinggal seorang diri tanpa ahli keluarga dan beliau enggan berpindah keluar dari pondoknya tanpa arahan bekas majikannya, Abdul Shukur," katanya kepada media di sini.

Amiruddin pernah bekerja sebagai pembantu di kediaman Abdul Shukur kira-kira 10 tahun lalu tetapi berhenti kerana faktor kesihatan.

Semalam, BH melaporkan nasib Amiruddin yang hidup bersendirian dalam kedaifan di pondok berkenaan sejak empat bulan lalu.

Warga emas itu menyatakan hasratnya bertemu Abdul Shukur yang disifatkannya seorang majikan yang baik dan hanya beliau boleh memujuknya.

Abdul Shukur turut mengunjungi Amiruddin selama dua jam yang juga disertai Zulyadain, pembantu perubatan, pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan media.

Abdul Shukur kemudian memujuk Amiruddin supaya berpindah ke pusat jagaan JKM yang lebih selesa.

"Walaupun sudah tidak berkhidmat dengan saya, setiap bulan saya peruntukkan RM400 untuk kos sara hidupnya.

"Kadang-kadang kita tidak tahu perkara kecil yang kita lakukan sebenarnya memberi kesan besar kepada orang lain. Ketika Amiruddin datang bekerja di rumah saya, dia memang sebatang kara.

"Bantuan yang saya beri setiap bulan itu akan saya salurkan ke JKM untuk menampung kehidupannya," katanya. 

Berita Harian X