Selasa, 18 Julai 2017 | 10:09pm
NAJIB Razak menerima replika kad diskaun Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) daripada Ayoob Khan sambil disaksikan Hamzah Zainuddin pada Majlis Jamuan Hari Raya & Hari Keluarga NGO-NGO India Muslim Semalaysia bersama Perdana Menteri di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang. - Foto Aizuddin Saad

Diskaun di restoran PRESMA

SERDANG: Orang kurang upaya (OKU), siswazah dan pemegang kad diskaun 'Friends of Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)' bakal menikmati diskaun sehingga 20 peratus di premis perniagaan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

Diskaun 20 peratus kepada pemegang kad OKU, manakala pemegang Kad Diskaun Siswa (10 peratus) dan pemegang kad Friends of KPDNKK (lima peratus) diberikan PRESMA sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup.

Pemberian diskaun itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jamuan Hari Raya KPDNKK bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) India Muslim SeMalaysia di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini ini, malam ini.

Perdana Menteri berkata, pemberian diskaun itu adalah sumbangan PRESMA kepada masyarakat di negara ini dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Saya ucapkan ribuan terima kasih, semoga hubungan ini berterusan, hubungan saya dengan masyarakat India Muslim sangat rapat, mudah-mudahan mereka akan memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan saya.

"Sebelah sana (pembangkang) ada juga orang tertentu yang India Muslim tetapi saya percaya tuan-tuan memberi sokongan kepada saya, mudah-mudahan hubungan ini berterusan," katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden PRESMA, Ayoob Khan Muhamad Yakub.

Kad Friends of KPDNKK adalah kad diskaun (loyalty card) yang dikeluarkan oleh Bank Rakyat kepada anggota Friends of KPDNKK.

Sehingga 14 Julai lalu, seramai 184,016 orang menjadi pemegang kad Friends of KPDNKK, manakala 424,519 pemegang kad OKU dan lebih 1.3 juta menjadi pemegang Kad Diskaun Siswa.

Majlis yang bermula sejak jam 3 petang tadi menghimpunkan lebih 20,000 masyarakat India Muslim yang bernaung di bawah PRESMA.

Sementara itu Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan mengkaji secara mendalam beberapa permintaan masyarakat India Muslim termasuk berkaitan status Bumiputera.

Beliau berkata, sumbangan masyarakat India Muslim pada negara sejak dulu lagi amat besar terutama dalam bidang penyediaan makanan di restoran.

"Meskipun mereka melalui perubahan apabila generasi baharu mengalih pembabitan mereka daripada bidang tradisional kepada bidang seperti akauntan, peguam dan jurutera, sokongan masyarakat India Muslim kepada kerajaan masih tidak berubah dan masih kukuh.

"Oleh itu, bagi pihak kerajaan, saya ucap ribuan terima kasih, saya dengar tuntutan yang dibuat oleh Dhajudeen (Dhajudeen Shahul Hameed, Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim SeMalaysia) dan saya menerima bahawa India Muslim adalah sebahagian Bumiputera.

"Soalnya bagaimana ia dilaksanakan kita akan kaji lebih mendalam, sama ada dari segi pentadbiran atau dengan cara dikehendaki iaitu melalui pewartaan, hakikatnya tuan-tuan adalah Bumiputera," katanya.

Berita Harian X