Rabu, 12 Julai 2017 | 5:35pm

PLKK tingkat pendapatan belia Orang Asli

SENATOR Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid melawat gerai masakan Orang Asli pada majlis perasmian Siri Jelajah PLKK anjuran JAKOA Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya, Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA
SENATOR Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid melawat gerai masakan Orang Asli pada majlis perasmian Siri Jelajah PLKK anjuran JAKOA Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya, Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Lebih 4,000 belia Orang Asli menyertai Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) sejak dilancarkan pada 2009, kata Senator Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid. 

Beliau berkata, sebanyak 70 peratus daripada jumlah pelatih yang tamat kursus PLKK berjaya menceburi pelbagai sektor industri dengan pendapatan antara RM1,300 hingga RM5,000 sebulan. 

"Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berusaha memastikan belia Orang Asli mendapat kemahiran teknikal bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan lumayan. 

"Kita beri belia Orang Asli program latihan secara percuma. Mereka juga diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan dan asrama, termasuk kenderaan ke pusat latihan disediakan. 

"Taraf pendidikan belia Orang Asli masih pada tahap sederhana dan mereka perlu merebut peluang mempelajari sebanyak 16 jenis kemahiran yang ditawarkan PLKK," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Siri Jelajah PLKK anjuran JAKOA Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAKOA Selangor dan Wilayah Persekutuan, Norliza Mohammad Basiron.  

Isa berkata, belia Orang Asli, terutama yang tinggal di negeri maju perlu merebut peluang yang disediakan bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan masyarakat luar. 

"Sebagai contoh kepada yang tinggal di negeri ini (Selangor). Sama ada mahu atau tidak, negeri ini akan terus berkembang maju. Jika tiada kemahiran, mereka akan ketinggalan," katanya.

Berita Harian X