Sabtu, 17 Jun 2017 | 1:50pm

Masyarakat India Muslim mohon status Bumiputera

KUALA LUMPUR: Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) mencadangkan masyarakat India Muslim yang dilahirkan di negara ini diberi status Bumiputera.

Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran SN Syed Abd Aziz, berkata status itu wajar diberi berikutan pengorbanan nenek moyang masyarakat berkenaan membawa masuk agama Islam ke Tanah Melayu sebelum menjadi agama rasmi negara ini.

"Masyarakat India Muslim mengiktiraf, mengangkat dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu, selain menerima Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Kita juga mengamalkan adat resam dan budaya Melayu," katanya selepas berkata menyerahkan memorandum permohonan status Bumiputera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan di sini, hari ini.

Syed Muhammad Imran berkata demikian pada Program Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim, Fakir Miskin dan Ibu Tunggal serta Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR/PT3/SPM/STPM 2016 dan Perasmian Persatuan Malabari Muslim Jama'at Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ahmad berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X