Rabu, 14 Jun 2017 | 4:11pm

Penarafan universiti dunia bukan cerminan mutlak

NAIB Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali. - Foto Nurul Shafina Jemenon
NAIB Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali. - Foto Nurul Shafina Jemenon

BANGI: "Syair dan sajak tidak diukur dalam penarafan universiti antarabangsa, namun kita tetap pertahankan, jika tidak 20 tahun lagi ia akan pupus.

Demikian pandangan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali mengenai penarafan universiti global yang bukan perlu dilihat dari segi nombor saja, tetapi juga strategi untuk mencapai kecemerlangan mengikut acuan Malaysia.

Katanya, penarafan universiti global bukanlah sesuatu yang mutlak kerana pemberat kriterianya kadang kala berubah dan universiti perlu menghadapinya, namun ia penting untuk menunjukkan pencapaian institusi dan persepsi masyarakat terutama di peringkat global.

"Masyarakat selalu melihat nombor dalam penarafan, apabila ia naik dan jatuh, namun ia lebih daripada itu kerana banyak usaha dijalankan universiti untuk mendapatkan kedudukan yang baik.

"Contohnya, pelbagai usaha UKM yang belum pun mencecah umur 50 tahun penubuhannya, tetapi sudah berada dalam kategori satu peratus teratas universiti dunia pada kedudukan 230, baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Penarafan UKM dalam QS World Ranking 2017/2018, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Riza Atiq OK Rahmat; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman; TNC Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah dan TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Dr Aziah Mohd Awal dan Pro Canselor UKM, Prof Datuk Dr Ir Mohd Marzuki Mustafa.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, UKM juga dianugerahkan sebagai universiti lima bintang oleh QS meliputi penilaian ke atas kualiti pengajaran, kebolehpasaran graduan, inklusif, pengantarabangsaan, inovasi dan prasarana.

Katanya, selain itu, awal tahun tahun ini, dalam penilaian QS mengikut bidang subjek, sembilan subjek di UKM iaitu Senibina, Kesusasteraan Inggeris, Pengajian Islam, Kejuruteraan Kimia, Elektrik dan Mekanik, Pendidikan dan Polisi Sosial telah dalam tersenarai dalam 100 teratas dunia.

"Selain faktor persepsi baik dalam kalangan ahli akademik dan majikan, kejayaan juga didorong hasil kerjasama strategik dengan banyak pihak termasuk agensi kerajaan, universiti terkemuka dunia, bank dunia dan industri.

"UKM yakin pencapaian ini juga mencerminkan kecemerlangan universiti dalam konteks lebih menyeluruh, khususnya dalam menyumbang pada matlamat pembangunan negara dan peningkatan kesejahteraan kehidupan masyarakat tempatan dan sejagat, bertepatan dengan aspirasi rakyat yang mendasari penubuhan universiti ini," katanya.

Berita Harian X