Isnin, 29 Mei 2017 | 4:32pm

Kes keluarga tinggal bawah jambatan selesai

MOHD Shukri Hushin (dua kanan) diberi penerangan oleh Eduar Kadir mengenai kesusahan yang dialami mereka. - Foto Muhammad Sulaiman
MOHD Shukri Hushin (dua kanan) diberi penerangan oleh Eduar Kadir mengenai kesusahan yang dialami mereka. - Foto Muhammad Sulaiman

PELABUHAN KLANG: Sebuah keluarga yang tinggal di bawah jambatan di Jalan Kem, di sini, bakal menikmati kehidupan lebih selesa menjelang Aidilfitri dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Operasi Agihan Daerah Klang, Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah LZS, Mohd Shukri Hushin, LZS akan menyediakan penempatan berikutan tempat tinggal mereka tidak sesuai dan tidak selesa untuk didiami.

"Kita akan usahakan tempat tinggal untuk mereka sekeluarga dalam kadar segera. Kita akan cari dan sewakan rumah yang sesuai terlebih dahulu.

"Penempatan baharu yang akan diberikan, berhampiran kawasan itu memandangkan anak-anak penerima bersekolah di situ dan beliau juga bekerja.

"Kami jangkakan paling lewat dua minggu sebelum sambutan Nuzul Quran isu penempatan keluarga ini selesai. Ini hadiah Ramadan untuk mereka," katanya.

Kisah Eduar Kadir, 60, bersama 16 ahli keluarga besarnya menetap di beberapa penempatan seperti bangsal yang dibina di bawah jambatan, Jalan Kem, sejak lima tahun lalu menjadi viral di media sosial.

Keluarga itu terpaksa mengosongkan rumah yang diduduki sebelum ini berikutan tidak mampu membayar sewa.

Mohd Shukri berkata, selain penempatan, LZS juga akan membantu dari segi keperluan bekalan makanan dan perancangan seterusnya untuk membolehkan penerima meneruskan kehidupan untuk jangka masa panjang.

"Kita akan lihat bagaimana LZS boleh membangunkan keluarga ini berdasarkan kemampuan, watak dan kebolehannya. Anak-anak yang tidak bersekolah akan dibantu dari segi kemahiran.

"Bagi anak-anak yang bersekolah pula, LZS akan menyediakan perkhidmatan ke sekolah sekiranya penempatan baharu jauh dari tempat tinggal. LZS akan berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung penempatan semula di sekolah berhampiran jika perlu," katanya.

Sementara itu Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Khairul Atha Annuar, yang turut menziarahi keluarga itu berkata, JKM juga memberi bantuan segera melalui Tabung Bantuan Segera (TBS) bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan sepanjang Ramadan.

"JKM akan beri bantuan skim Bantuan Kanak-kanak kepada tiga anaknya yang layak memandangkan mereka adalah warganegara Malaysia.

"Peruntukan RM100 untuk seorang kanak-kanak setiap bulan, bermakna RM300 sebulan untuk tiga anak mengikut keperluan. Skim ini sehingga usia anak 18 tahun mengikut keadaan keluarga," katanya.

Berita Harian X