Jumaat, 26 Mei 2017 | 5:52pm

Koperasi desak sekatan bayaran potongan gaji ditangguh

SUBANG JAYA: Lebih 600 koperasi kredit di seluruh negara, meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sekatan potongan gaji hingga 60 peratus daripada pendapatan kasar yang dilaksanakan terhadap penjawat awam sejak April lalu.

Mereka itu mendakwa pelaksanaan pekeliling itu memberi kesan kepada operasi dan peminjam, sekali gus meningkatkan pinjaman tidak berbayar (NPL) serta mengganggu proses bayaran balik pembiayaan.

Jurucakap wakil koperasi kredit terbabit, Datuk Mohammed Farid Zawawi, berkata tindakan kerajaan itu bukan langkah tepat dalam usaha menangani masalah hutang dalam kalangan penjawat awam.

"Pendekatan itu tidak munasabah, kerana ia menyebabkan lebih banyak masalah kepada peminjam dan koperasi. Tindakan itu, hanyalah sebagai penangguhan kepada pembayaran balik pinjaman, seterusnya meningkatkan NPL peminjam.

 

"Secara langsung ia menyebabkan bilangan awam yang disenarai hitam meningkat ekoran masalah bayaran balik pinjaman." katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (KOWAMAS), berkata demikian selepas sesi perbincangan mengenai pelaksanaan sekatan bayaran itu di Ibu Pejabat KOWAMAS, di sini, hari ini.

Kira-kira 10 koperasi kredit diwakili pengerusi masing-masing menyertai sesi itu termasuk Pengerusi Koperasi Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad, Datuk Yusra Sabar dan Pengarah Urusan Koperasi Perdanajaya Malaysia Bhd, S Ahlaimuniadiny.

Mohamed Farid menjelaskan, hutang atau bayaran potongan yang melebihi 60 peratus daripada jumlah kasar yang tidak dapat dipotong melalui sistem gaji perlu dilakukan sendiri oleh penjawat awam.

 

"Susulan dasar itu, bagi bayaran pinjaman yang melepasi kuota potongan gaji berkenaan, peminjam perlu membayar secara manual, yang pastinya menimbulkan isu kelewatan bayaran.

"Bila timbul kelewatan bayaran, peminjam berdepan tindakan undang-undang yang secara langsung memberi tekanan kepada mereka," katanya.

 

Sementara itu, Ahlaimuniadiny berkata kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan sekatan itu dan membuat penelitian semula bersama peserta industri dalam mencari penyelesaian yang tepat.

 

"Kami bersedia mengadakan perbincangan bersama menteri dan pihak terbabit, untuk mencari penyelesaian dalam isu ini, Kita minta kerajaan melanjutkan tempoh bayaran pinjaman maksimum daripada 10 kepada 15 atau 20 tahun untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh peminjam dan koperasi." katanya.

Sebelum ini,  Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memohon kerajaan menangguhkan serta-merta pelaksanaan sekatan itu, selain menyerahkan memorandum resolusi yang dipersetujui anggota koperasi Angkasa kepada kerajaan.

 

Berita Harian X