Khamis, 25 Mei 2017 | 4:32pm

Internet laju di sekolah luar bandar : Mahdzir

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kiri) merasmikan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, Tanah Merah. Turut hadir, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad (kiri) dan Pengarah Pendidikan negeri Kelantan, Jaafar Ismail (dua dari kiri). - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

TANAH MERAH: Usaha memperkasakan sistem pembelajaran melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus diberi keutamaan apabila 4,000 sekolah di seluruh negara akan dinaik taraf capaian kemudahan itu tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sehingga kini, hampir 6,000 sekolah sudah menjalani proses itu sekali gus dapat menikmati capaian internet yang lebih baik

Beliau berkata, sebahagian besar sekolah yang belum dinaik taraf kemudahan itu terletak di kawasan luar bandar.

"Kita mendapati sekolah di luar bandar capaian internetnya antara dua megabait sesaat (Mbs) hingga empat Mbs berbanding di kawasan bandar capaian itu melebihi 10 Mbs.

"Keadaan itu menimbulkan pelbagai masalah kepada guru apabila mereka mahu mengakes internet dan mencari maklumat menerusi perisian disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perayaan sambutan Hari Guru peringkat Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof; Pengarah Pendidikan Kelantan, Jaafar Ismail dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan mendapat kerjasama dari syarikat pengendali telekomunikasi bagi memperluaskan liputan rangkaian dalam usaha menaik taraf capaian ICT di setiap sekolah berkenaan.

Katanya, sistem pembelajaran menggunakan kemudahan internet di sekolah amat penting dalam melaksanakan Kelas Abad ke-21.

"Selain dengan percakapan, proses pengajaran dan pembelajaran juga memerlukan eleman penggunaan ICT dan jika tidak dapat menguasainya kita akan gagal," katanya.

Berita Harian X