Selasa, 23 Mei 2017 | 8:17pm

Kerajaan negeri perlu bantu atasi isu pelajar keciciran sekolah

MENTERI Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Syed Mohd Azni Syed Omar pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Daerah Padang Terap hari ini.- Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Syed Mohd Azni Syed Omar pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Daerah Padang Terap hari ini.- Foto BERNAMA

KUALA NERANG: Semua kerajaan negeri diminta membantu Kementerian Pendidikan dalam usaha membendung masalah keciciran pelajar sekolah.

Ia termasuk memastikan penyelesaian faktor pendorong yang mencetus berlakunya isu itu di negeri masing-masing.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata walaupun angka kes keciciran pelajar tidak di tahap mendesak atau kritikal, langkah awal perlu diambil dengan kadar segera demi memastikan masa depan pelajar terbabit terjamin.

Berdasarkan laporan, katanya pihaknya mengenal pasti beberapa faktor sebagai punca utama kes keciciran itu terutama membabitkan pelajar yang sudah tidak minat lagi untuk belajar, selain ramai yang tertarik dengan kehidupan di luar sekolah.

"Faktor demografi juga menjadi antara punca khususnya tidak mempunyai sistem pengangkutan untuk ke sekolah...kes ini banyak berlaku di kawasan pedalaman yang susah mendapat sistem pengangkutan menyebabkan mereka tidak dapat menyambung persekolahan selepas habis sekolah rendah.

"Dalam soal ini kita sudah maklumkan kepada kerajaan negeri melalui Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-129 yang berlangsung di Putrajaya semalam mengenai kesungguhan Kementerian Pendidikan untuk menangani isu terbabit.

"Melalui mesyuarat sama juga kita maklumkan kepada Menteri Besar mengenai faktor keciciran pelajar dan minta kerajaan negeri mengambil tindakan bersama JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) serta PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) untuk mengatasinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Padang Terap 2017 di Kolej MARA Kuala Nerang, dekat sini.

Pada majlis itu beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut mengumumkan peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membabitkan RM10,000 untuk semua sekolah menengah dan RM5,000 untuk sekolah rendah di seluruh Padang Terap.

Pada masa sama, Mahdzir berkata Kedah menjadi antara negeri yang mempunyai kes tinggi membabitkan keciciran pelajar ke sekolah dengan 1.5 hingga 2.5 peratus dikesan daripada keseluruhan kira-kira 170,000 pelajar.

Berita Harian X