Jumaat, 19 Mei 2017 | 1:04pm

Pak Wan tamat kayuhan 3,000km, terima MBOR ketiga

PAK Wan (kiri) berjaya menamatkan kayuhan bersama Shahuri Awang pada misi kayuhan kembara berbasikal sejauh 3,000 kilometer (km) mengeliling Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand setelah menghabiskan masa Sebulan 10 hari tiba di Hotel Grandrivew. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PAK Wan (kiri) berjaya menamatkan kayuhan bersama Shahuri Awang pada misi kayuhan kembara berbasikal sejauh 3,000 kilometer (km) mengeliling Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand setelah menghabiskan masa Sebulan 10 hari tiba di Hotel Grandrivew. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Wan Hashim Wan Mahmood, 71, bersama jurugambar sambilan BERNAMA Kelantan, Shahuri Awang, 31, hari ini menamatkan kayuhan sejauh 3,000 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung, Singapura dan selatan Thailand selama 43 hari.

Mereka diarak sejauh enam km bermula dari Dataran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian diiringi beberapa pengayuh basikal selain Kelab Bomba Biker serta 10 buah kereta klasik Volkswagen sebelum tiba di perkarangan Hotel Grand Riverview (GRV) pada jam 9.10 pagi tadi.

Wan Hashim atau lebih dikenali Pak Wan berkata, misi kayuhan kali ini berbeza daripada sebelumnya kerana mendapat sambutan di luar jangkaan oleh masyarakat setiap tempat yang disinggah.

"Sepanjang kayuhan ini, pelbagai rintangan yang kami tempuhi antaranya keadaan cuaca yang tidak menentu dan terpaksa melalui jalan yang sunyi, namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan misi kayuhan ini.

"Setiap hari kami akan menghabiskan 70 hingga 100 kilometer (km) supaya tiba tepat pada waktu seperti dirancang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ketibaan Misi 3,000 km bersama Pak Wan di Hotel GRV di sini, tadi.

Pada majlis itu, Pak Wan menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) kali ketiga sebagai Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia oleh wakil MBOR, Nurasyikin Ramli.

Turut sama menyambut ketibaan mereka adalah Pengarah Tourism Malaysia Negeri Kelantan, Hafiz Hazin; Pengurus Besar Hotel GRV, Vincent Chua; Presiden KEMUDI, Mohd Zailani Abdul Rahman; dan Pengasas Kosmetik Sweetiey, Nur Baiti Yusof.

Sebelum ini, kali pertama Pak Wan mencipta nama dalam MBOR selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014.

Namun beliau sekali lagi mencipta nama pada Januari 2015 apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah seluruh negara ini sejauh 5,319km.

Berita Harian X