Rabu, 17 Mei 2017 | 7:56pm

Tak perlu henti kegiatan luar

MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan diperhatikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim (dua dari kiri) beramah mesra bersama peserta kawad kadet Bomba selepas merasmikan perkhemahan kadet Bomba peringkat kebangsaan kali 27 di Rantau Eco Park, Rantau. - Foto Hazreen Mohamad
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan diperhatikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim (dua dari kiri) beramah mesra bersama peserta kawad kadet Bomba selepas merasmikan perkhemahan kadet Bomba peringkat kebangsaan kali 27 di Rantau Eco Park, Rantau. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Aktiviti luar membabitkan pelajar termasuk rekreasi hutan tidak perlu dihentikan apabila timbul sesuatu isu atau insiden.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata perkara yang perlu diberi perhatian adalah memastikan penganjur meningkatkan aspek keselamatan.

Beliau berkata, penganjur aktiviti sedemikian perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk membentuk jawatankuasa keselamatan khusus untuk memastikan keselamatan peserta terjamin.

Katanya, jawatankuasa perlu memberi perhatian lebih terhadap tahap keselamatan dan kesesuaian bagi lokasi aktiviti rekreasi yang akan dilaksanakan termasuk perkhemahan di hutan atau kawasan berair.

"Kegiatan luar tidak perlu dihentikan kerana ia adalah aktiviti yang baik untuk pelajar tetapi saya nasihatkan buat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kawalan keselamatan ini paling penting untuk dititikberatkan bagi mengelak kejadian seperti kes lemas, hilang atau kemalangan lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Kebangsaan Zon Semenanjung di Rantau Eco Park, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Wan Mohd Nor mengulas mengenai kejadian Sabtu lalu apabila dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) maut selepas dihempap pokok ketika mengikuti latihan ikhtiar hidup di kawasan air terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Beliau berkata, jawatankuasa keselamatan akan membolehkan setiap aktiviti dipantau dan risiko kemalangan dikurangkan.

Berita Harian X