Selasa, 16 Mei 2017 | 5:18pm

Hari Guru UPSI meriah

TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Sahandri Gani Hamzah bergambar bersama kakitangan dan pelajar UPSI ketika menyambut Hari Guru yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. - Foto ihsan Noorzali
TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Sahandri Gani Hamzah bergambar bersama kakitangan dan pelajar UPSI ketika menyambut Hari Guru yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. - Foto ihsan Noorzali

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menyambut Hari Guru yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengenang jasa guru yang berbakti kepada anak bangsa dan pembangunan negara.

Sambutan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu dihadiri pengurusan tertinggi universiti, dekan, ketua jabatan, pensyarah dan pelajar.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI adalah institusi penyedia guru terbesar di negara ini dengan lebih daripada 55,000 graduan dilahirkan sejak penubuhannya dan majoritinya bertugas sebagai guru.

Katanya, sebagai satu-satunya universiti pendidikan di negara ini, UPSI berperanan melahirkan guru yang berbeza melangkaui akademik.

"Usaha ini ke arah menjadikan UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu di rantau ini serta universiti yang menjadi rujukan, suluhan, panduan dan juara dalam apa sahaja yang berkait dengan pendidikan," katanya.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Sahandri Gani Hamzah. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Md Amin Md Taff.

Sempena sambutan itu, turut diadakan Pertandingan Mencipta dan Deklamasi Sajak yang dimenangi Muhammad Faezsyam Suhaini.

Anugerah Pensyarah 2017 mengikut fakulti dimenangi Dr Abdul Halim Misnan dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM); Dr Mohamadisa Hashim (Fakulti Sains Kemanusiaan); Dr Lim Ai Choo (Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan), Noriza Nayan (Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif ) dan Prof Madya Dato Paduka Dr Mohd Rosli Saluddin (Fakulti Bahasa dan Komunikasi).

Penerima lain, Dr Ridzwan Che Rus (Fakulti Teknikal dan Vokasional); Dr Rohaidah Masri (Fakulti Sains dan Matematik); Zamrus Hashim (Fakulti Muzik dan Seni Persembahan); dan Prof Dr Azham Md Ali (Fakulti Pengurusan dan Ekonomi).

Anugerah Tokoh disampaikan kepada Prof Dr Rosly Jaafar dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) manakala Anugerah Tokoh Alumni 2017 diberikan kepada Norhayati Zakaria, yang menjadi Bendahari Agung Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) sejak 2010 hingga kini.

Berita Harian X