X
Isnin, 15 Mei 2017 | 9:00pm
PENGERUSI Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad
PENGERUSI Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad

Perkasa Pendidikan Moral lahir pelajar berkualiti

KUALA LUMPUR: Tugas pendidik di negara ini semakin mencabar untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar mempersiapkan pelajar berkualiti tinggi dalam aspek pendidikan serta moral.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata untuk itu, Kementerian Pendidikan perlu memastikan bilangan guru terlatih dan berkelayakan mencukupi supaya pendidikan moral dapat dilaksanakan dengan jayanya di semua sekolah.

Beliau berkata, garis panduan penambahbaikan isu moral pelajar akan menjadikan pelajar sebagai individu berintegriti, memiliki nilai murni dan berakhlak mulia.

"Antara langkah menyelesaikan isu moral adalah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa pelajar dan merujuk pelajar bermasalah kepada guru kaunseling.

"Pengetua, guru besar dan guru lain juga perlu lebih peka kepada perubahan sikap dan perilaku pelajar mereka termasuk kemurungan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sempena sambutan Hari Guru esok, Lam Thye menyifatkan hari itu sebagai tanda melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan terhadap sumbangan guru mendidik serta membentuk generasi muda menjadi anggota masyarakat berguna.

Katanya, hari berkenaan juga sebagai mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan guru kepada negara kerana pengaruh seorang guru boleh memberikan impak besar kepada masyarakat, yang mesti dihargai setiap masa.

"Kita tidak boleh menafikan peranan guru pelbagai kaum menerapkan semangat perpaduan. Kerajaan memilih kekalkan tema 'Guru Pembina Negara Bangsa' seperti tahun lalu.

"Yayasan Eco World turut menghargai peranan dan jasa guru dan akan meneruskan usaha membantu meningkatkan taraf pendidikan dan sahsiah pelajar kurang berkemampuan daripada pelbagai kaum di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, tugas pemimpin di dalam kelas ketika ini sudah berubah mengikut arus pemodenan apabila pelajar perlu dilengkapi kemahiran daya saing, berfikir, komunikasi dan inovasi yang tinggi.

Sehubungan itu, guru perlu mahir dalam kaedah pendidikan sedemikian termasuk keupayaan menganalisis dan menggunakan gabungan pengetahuan ilmu dan kemahiran.

Berita Harian X