Khamis, 4 Mei 2017 | 4:48pm

Yakin tarik 3 juta pelancong China tahun ini

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan aplikasi perkhidmatan pelancongan digital Hartar, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan aplikasi perkhidmatan pelancongan digital Hartar, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yakin jumlah kedatangan pelancong asing China ke Malaysia akan mencecah sehingga tiga juta pelancong untuk tahun ini.

Menterinya, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata terdapat peningkatan ketara dalam jumlah pelancong China sejak tiga bulan pertama tahun ini.

"Kementerian mendapati terdapat pertambahan yang signifikan kepada jumlah pelancong China bagi tempoh awal tahun hingga Mac lalu, berbanding tempoh sama bagi tahun 2016. Kita turut mendapati bahawa negeri Sabah menjadi lokasi pilihan utama pelancong dari negara itu.

"Berdasarkan jumlah itu, kementerian yakin kita mampu mencapai jumlah tiga juta pelancong dari China hingga penghujung tahun ini," katanya ketika sidang media selepas pelancaran aplikasi perkhidmatan pelancongan digital Hartar, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Persatuan Cina, Datuk Cheng Lai Hock dan Pengerusi Whynet Hunter Sdn Bhd, Datuk Andy Chuah.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, kementerian menyokong penuh dan yakin aplikasi mudah alih itu mampu meningkatkan kemapanan ekonomi sektor pelancongan tempatan.

"Aplikasi ini memudahkan pelancong meneroka tempat pelancongan di negara ini kerana sistem ditawarkan amat menyeluruh. Ia menjadi satu medan baharu dalam mempromosikan sektor pelancongan negara.

"Malah kita mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak yang mempunyai idea baharu seperti aplikasi ini untuk membantu memperkukuhkan sektor pelancongan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Whynet Hunter Sdn Bhd, David Soh dalam taklimat pengenalan mengenai aplikasi Hartar, berkata aplikasi berkenaan menawarkan perkhidmatan pelancongan digital secara menyeluruh dengan konsep melancong sambil meneroka (Tour and Hunt). 

"Ibarat pusat perkhidmatan sehenti, Hartar menawarkan sistem carian secara digital yang menyeluruh dari segi carian tempat penginapan, pengangkutan, pusat membeli-belah dan tempat pelancongan tempatan dengan dilengkapi informasi bergambar.

"Uniknya aplikasi ini, pengguna dapat melancong sambil meneroka seperti mencari harta karun kerana pengguna boleh menebus ganjaran melalui aplikasi ini."

Menurut David, pengguna boleh memuat turun aplikasi berkenaan melalui telefon pintar dan tablet serta boleh digunakan sepenuhnya mulai Julai ini.

Berita Harian X