Rabu, 3 Mei 2017 | 12:12pm

Pemuda PAS sokong laksana diyat

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS (DPPM) menyifatkan diyat atau pengampunan waris mangsa berdasarkan undang-undang Islam seperti cadangan Jemaah Pengampunan Pahang, bakal memperkukuhkan kedudukan syariah Islam.

KETUA Penerangan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim. - Foto Imran Makhzan
KETUA Penerangan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim. - Foto Imran Makhzan

Ketua Penerangannya, Hishamuddin Abdul Karim, berkata DPPM berharap usaha dirintis Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Jemaah Pengampunan Pahang itu akan membuka ruang amal soleh dan diikuti negeri lain.

Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, berkata konsep diyat menjadi alternatif terhadap banduan yang berdepan hukuman mati bagi sabitan membunuh.

"DPPM mengalu-alukan perbincangan lebih terbuka dan membuka ruang semua pihak untuk meneliti tawaran oleh Islam dalam memberi keadilan sebaiknya kepada masyarakat.

"Pelaksanaan qisas sebagai antara hukum jenayah Islam dan diyat di bawahnya adalah arahan jelas dalam syariah Islam.

"Pendekatan undang-undang ini akan melengkapkan maqasid syariah yang sering dibicarakan ummah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Majlis Jemaah Pengampunan Pahang bercadang melaksanakan kaedah diyat sebagai alternatif terhadap hukuman dikenakan ke atas pesalah yang disabitkan hukuman mati.

Tengku Abdullah dilaporkan bertitah, Majlis Jemaah Pengampunan negeri akan mengambil kira kaedah itu dalam pelaksanaan sistem pengampunan dengan merujuk kepada keluarga mangsa dalam kes tertentu.

Dalam isu berasingan, DPPM menafikan penyebaran poster secara maya mengaitkan Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dengan kenyataan mengenai konsert Megadeth di Stadium Negara, Jumaat ini.

Kenyataan itu antara lain memetik usaha menggerakkan ahli pergerakan berkenaan berhimpun bagi membuat bantahan.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, pihaknya memandang serius penganjuran konsert Megadeth, kumpulan rock thrash metal dari Amerika Syarikat, kerana kumpulan itu pernah dihalang mengadakan konsert di negara ini pada 2001.

"Islam bukan agama yang menghalang hiburan. Ia memberi peluang kepada ummah berhibur dengan sempadan jelas dan mudah.

"DPPM yakin PAS tidak menghalang penganjuran konsert hiburan yang menepati garis panduan ditetapkan pihak berkuasa agama demi memelihara kesejahteraan rakyat," katanya.

Berita Harian X