Ahad, 30 April 2017 | 7:05pm

229 pempamer sertai Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC

ORANG ramai yang hadir Pesta Buku Antarabangsa 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra yang akan berlangsung selama sepuluh hari mulai 26 April sehingga 5 Mei. - Foto Hafiz Sohaimi
ORANG ramai yang hadir Pesta Buku Antarabangsa 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra yang akan berlangsung selama sepuluh hari mulai 26 April sehingga 5 Mei. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (PBAKL2017) tetap meriah dengan kunjungan tidak putus 'pencinta buku' ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) meskipun hujan petang tadi di sekitar ibu kota.

 

Kepelbagaian genre bacaan untuk segenap masyarakat dijual selain banyak program selingan diadakan sempena pesta itu bagi menghiburkan pengunjung.

 

Penganjuran PBAKL yang bermula sejak 28 April hingga 7 Mei depan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya apabila seramai 229 pempamer dari syarikat tempatan dan luar negara menyertai pesta jualan gedung buku yang masuk kali ke-36.

 

Selain Malaysia, negara luar yang mengambil bahagian adalah Singapura, Indonesia, Brunei, Arab Saudi, India, Australia, Iran, Syria, Lubnan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

 

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd Wahab Ibrahim, berkata jika dilihat sambutan orang ramai pada tahun ini, pihaknya yakin lebih 2.5 juta orang akan berkunjung sepanjang pesta yang berlangsung selama 10 hari itu sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan.

 

Beliau berkata, sambutan golongan muda seperti pelajar dan mahasiswa terhadap pesta buku ini juga amat baik.

 

"Meskipun cogan kata PBAKL2017 '1000 tapi satu; Negaraku', bunyinya agak serius. Tapi bermacam jenis genre buku yang kita ketengahkan antaranya novel dan indie yang menjadi trend kesukaan golongan belia ketika ini untuk membaca.

 

"Pesta ini turut mengetengahkan satu program baharu iaitu 'BacaWorld' yang dibentuk untuk menarik minat golongan muda membabitkan diri dalam aktiviti PBAKL. Ia satu program pemasaran kandungan dan cara hodup digital berasaskan buku dan diterjemahkan dalam bentuk filem, mainan digital dan sebagainya," katanya ketika ditemui.

 

Pempamer, Meor Farid Asyradi,27, yang sudah tiga kali terbabit dalam PBAKL berkata, pesta ini adalah medium berkesan untuk membantu syarikat penerbit khususnya penulis untuk mempromosi dan menjual hasil karya mereka.

 

Katanya, sehingga semalam, lebih 7,000 buku travelog berjaya terjual. Ia mengandungi catitan cerita merangkumi pengalaman penulis dari syarikat penerbitan Kasi Terbit yang mengembara di negara Eropah dan Asia antaranya berjudul 'Langtang Nepal' dan 'Menerjah Langit Eropah'.

 

Bagi pengunjung, Azmira Azna Kamarulzaman, 28, PBAKL adalah 'pusat sehenti' terbaik buat pencinta buku yang mendapatkan bahan bacaan sama ada yang ilmiah atau santai.

 

 

Berita Harian X