Sabtu, 29 April 2017 | 4:49pm
SUASANA sedih menyelubungi perkarangan Hospital Beaufort selepas ibu bapa dan keluarga mangsa yang lemas berkumpul sejak kira-kira jam 1 tengah hari. - Foto Suzianah Jiffar
SUASANA sedih menyelubungi perkarangan Hospital Beaufort selepas ibu bapa dan keluarga mangsa yang lemas berkumpul sejak kira-kira jam 1 tengah hari. - Foto Suzianah Jiffar

Bapa berat hati lepaskan anak ikut perkhemahan

BEAUFORT: Bapa seorang daripada pelajar yang lemas ketika mengikuti perkhemahan di sebuah resort di Membakut dekat sini, mengakui berat hati melepaskan anaknya menyertai program berkenaan.

Norisham Punah, 51, berkata beliau mengetahui kejadian menimpa anaknya, Danial Norman, 16, selepas dimaklumkan pihak sekolah kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

NORISHAM Purah.- Foto Suzianah Jiffar
NORISHAM Purah.- Foto Suzianah Jiffar

"Saya berat hati melepaskan anak menyertai perkhemahan ini, namun arwah tetap juga mahu mengikuti program sekolah itu.

"Sejak Khamis lagi arwah meminta kebenaran dan duit untuk membayar yuran bagi menyertai perkhemahan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Beaufort, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi, Daniel Norman, bersama dua rakannya, Hafiz Hamizan Rahman, 16, dan Khuzaimi Zakaran, 17, ditemui lemas oleh guru pengiring ketika menjalankan aktiviti melalui laluan berair di sekitar resort berkenaan.

Seramai 120 pelajar dan 30 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan mengikuti program kem kepemimpinan itu.

Bercerita lanjut, Norisham yang juga imam kariah Masjid Kampung Petagas, Putatan, berkata beliau sebenarnya merancang membawa keluarga ke Tenom untuk bertemu abangnya sempena cuti hujung minggu.

"Keadaan itu menyebabkan Daniel murung sejak dua hari lalu, akhirnya saya benarkan juga dia menyertai perkhemahan ini," katanya.

Danial adalah anak ketujuh daripada lapan beradik.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petagas, Putatan, lewat petang ini.

Berita Harian X