Rabu, 26 April 2017 | 11:05pm

Golongan muda semarakkan Malam Puisi Riong

PERSEMBAHAN kumpulan pelajar UPSI membuat persembahan pada Malam Puisi Riong: Karya Negaraku di ruang Theatrette Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP). - Foto Saddam Yusoff
PERSEMBAHAN kumpulan pelajar UPSI membuat persembahan pada Malam Puisi Riong: Karya Negaraku di ruang Theatrette Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP). - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Malam Puisi Riong: Karya Negaraku meriah dengan sambutan golongan muda yang memenuhi ruang Theatrette Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Mereka menampilkan bakat dan kreativiti masing-masing untuk membangkitkan semangat patriotisme dan kemerdekaan melalui puisi, lakonan serta nyanyian.

Acara anjuran BH itu dimulakan dengan persembahan Onn Jaafar Sebuah Muzikal oleh pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Perdana, di bawah bimbingan tenaga pengajarnya, Mohd Saad Omar.

Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman dan Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman turut menunjukkan bakat apabila masing-masing mendeklamasikan puisi berjudul Negaraku Merdeka dan Negeri Bertuah Ini (A Latip Talib).

Malam puisi itu turut menampilkan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ibrahim Yahya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ariff Mohamad, pula membacakan puisi bertajuk Alam Untuk Direnangi, manakala dua pelajarnya, Noor Harieyda Roshan dan Nur Amira Mohd Nor Rassib deklamasi puisi bertajuk Lestari serta Fajar Menyinsing di Malaysia.

Lantunan suara Noor Harieyda dan Nur Amira itu disambut oleh rakan segenerasi mereka dari UiTM Puncak Perdana yang membacakan puisi berjudul Bersatulah Melayu.

Malam Puisi Riong: Karya Negaraku turut disemarakkan oleh deklamator, Yeo Hock Lim yang lebih dikenali sebagai Harlym Yeo dan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2016, Muhammad Safwan Mohd Yusof.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan wartawan penyiaran, Ras Adiba Radzi dan penyanyi lagu puisi, Mohd Saidin Omar (Adinda Amiro).

Malam Puisi Riong: Karya Negaraku ditutup dengan lagu puisi Penantian dan Aku Negaraku oleh kumpulan pelajar UPSI yang mendendangkan lagu.

 

TETAMU mengibar bendera Malaysia pada Malam Puisi Riong: Karya Negaraku di ruang Theatrette Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP). - Foto Saddam Yusoff
TETAMU mengibar bendera Malaysia pada Malam Puisi Riong: Karya Negaraku di ruang Theatrette Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP). - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X