Rabu, 26 April 2017 | 8:23am

Puisi patriotik Negaraku di NSTP malam ini

KUALA LUMPUR: "Malam Puisi Riong: Karya Negaraku" dengan prestij penganjuran yang mencecah hampir tiga dekad berupaya menyemarakkan aktiviti seni dan sastera, sekali gus memupuk semangat cintakan negara menerusi puisi patriotik.

Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2016, Muhammad Safwan Mohd Yusof, berkata selain dilihat mampu melestarikan seni budaya warisan bangsa, Malam Puisi Riong: Karya Negaraku ialah inisiatif yang baik dalam memekarkan bahasa dan sastera dalam kemelut bahasa dan persuratan semakin membimbangkan banyak pihak.

"Banyak medium yang boleh digunakan dalam menyuntik semangat nasionalisme salah satunya adalah melalui puisi.

"Kita lihat bagaimana dengan baris diksi dan nada yang dilaungkan dari lubuk hati pastinya meninggalkan kesan yang tersendiri dalam memaknakan kemerdekaan," katanya kepada BH di sini, semalam.

Malam Puisi Riong: Karya Negaraku anjuran BH kembali dengan edisi kedua dengan tema Karya Negaraku bertempat di Theatterate, New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, bermula jam 8 malam ini.

Penganjuran kali kedua, sesudah kali pertama pada 4 April lalu yang mendapat sambutan sangat menggalakkan turut akan menampilkan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ariff Mohamad.

Inisiatif Negaraku yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat dan mengenepikan sebarang perbezaan dalam menjayakan cita-cita membentuk Malaysia yang lebih makmur dan berjaya.

Muhammad Safwan berkata, Malam Puisi Riong: Karya Negaraku dan acara seumpamanya adalah ruang yang bermanfaat untuk merenung dan menghayati perjuangan kemerdekaan.

"Bagi saya, nasionalisme ialah satu gagasan fahaman mempertahankan tanah air daripada cengkaman dan anasir luar yang boleh menggugat kedaulatannya.

"Oleh itu, semangat cintakan negara perlu dipupuk lebih-lebih lagi kepada anak muda yang berperanan besar menggantikan pucuk pimpinan suatu hari nanti kerana ibarat kata-kata hikmah, rosak pemimpin, rosaklah negara," katanya.

Berita Harian X