Selasa, 25 April 2017 | 9:02pm

Wajibkan kerusi keselamatan kanak-kanak

PRESIDEN MACONAS, Datuk Amarjit Singh Gill.
PRESIDEN MACONAS, Datuk Amarjit Singh Gill.

IPOH: Persatuan Pengguna Malaysia (MACONAS) menggesa kerajaan segera mewajibkan penggunaan tempat duduk keselamatan untuk kanak-kanak bagi kenderaan persendirian sebagai usaha mengurangkan kematian dan kecederaan bagi golongan berkenaan. 

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata tidak terdapat iltizam yang kuat daripada Kementerian Pengangkutan dan agensi kerajaan berkaitan untuk menguatkuasakan peraturan itu walaupun pihaknya sudah mencadangkan perkara itu sebelum ini. 

"Keselamatan penumpang tidak hanya terpakai kepada orang dewasa tetapi hak sama harus diberikan kepada kanak-kanak dan bayi dalam kenderaan. 

"Adalah sesuatu menyedihkan apabila mendapat tahu terdapat nyawa melayang dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Seremban semalam, disebabkan tiada pemasangan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Amarjit percaya jika kanak-kanak terbabit dipakaikan tali pinggang dan duduk di kerusi keselamatan untuk kanak-kanak, kehilangan nyawa dapat dielakkan serta menghalang kejadian terhumban keluar akibat kesan kemalangan. 

Beliau berkata, ribuan kenderaan berada di atas jalan raya dalam sehari dan kanak-kanak daripada usia bayi hingga 5 tahun sentiasa berada dalam keadaan berisiko dan ibarat dalam situasi `bom masa' kerana duduk di tempat duduk penumpang belakang tanpa sebarang ciri keselamatan. 

Malah, katanya, masih terdapat keluarga yang meletakkan anak mereka di atas riba di tempat duduk hadapan ketika kenderaan bergerak yang bukan sahaja membahayakan penumpang hadapan tetapi juga kanak-kanak terbabit. 

Katanya, berdasarkan kajian sebelum ini, perangkaan menunjukkan penggunaan tempat duduk keselamatan boleh mengurangkan risiko kematian sebanyak 71 peratus bagi bayi dan 54 peratus untuk kanak-kanak berusia 1 hingga 5 tahun.

 "Jika kita serius untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius dalam memastikan langkah pencegahan dilakukan dalam memastikan keselamatan penumpang dalam kenderaan," katanya.

Berita Harian X