Isnin, 24 April 2017 | 11:45am

Sambung kayuhan solo di Langkawi

KHAIRIL Aslan, bersedia untuk memulakan kayuhan mengelilingi Langkawi sejauh 70 kilometer di Dataran Lang, Langkawi,- Foto Hamzah Osman
KHAIRIL Aslan, bersedia untuk memulakan kayuhan mengelilingi Langkawi sejauh 70 kilometer di Dataran Lang, Langkawi,- Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Berdepan masalah kulit lengan bersisik dan menggelupas serta bibir pecah akibat meredah panas terik, tidak mematahkan semangatnya meneruskan ekspedisi solo berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Khairil Aslan Ab Rashid, 42, tiba di pulau ini jam 6 petang semalam dengan menaiki feri penumpang dari Pulau Pinang, dengan rekod kayuhan sejauh 600 kilometer (km) hingga hari ini.

"Sepanjang kayuhan saya selama lapan hari sejauh 600km saya bukan sahaja berdepan risiko hampir dilanggar kenderaan berat termasuk lori dan bas, tetapi turut menghadapi masalah kulit lengan bersisik dan menggelupas, selain bibir pecah akibat kekurangan air.

"Semua itu saya anggap sebagai cabaran dan sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk menamatkan ekspedisi solo berbasikal ini yang berbaki kira-kira 2,100km dalam tempoh 21 hari lagi," katanya ketika ditemui sebelum memulakan kayuhan mengelilingi pulau ini di Dataran Lang di sini, hari ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu kelihatan bersemangat tinggi walaupun berkayuh sambil membawa beban seberat 60 kilogram, selain waktu makan dan tidurnya tidak menentu sepanjang lapan hari lalu.

Khairil Aslan berkata, selepas membuat kayuhan sejauh 70km mengelilingi Langkawi hari ini, seterusnya beliau akan bertolak kira-kira jam 8.30 pagi esok dengan feri penumpang ke Kuala Perlis bagi menyambung kayuhan ke negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Ekspedisi selama 30 hari sejauh kira-kira 2,700 kilometer itu bermula pada 16 April lalu di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi dan akan berakhir di masjid sama pada 12 Mei ini.

Berita Harian X