Jumaat, 21 April 2017 | 1:55pm

15,652 terima rawatan di PRPTAR

Datuk Seri Mohd Najib Razak (dua dari kiri) diiringi Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kiri) bersama Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (empat dari kiri) melihat pesakit Mohamad Nor Idzhar Mohd Shahrir, 29, (kiri) dari Pulau Pinang menggunakan peralatan 'Lokomat' ketika sesi latihan berjalan semula pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Hang Tuah Jaya, Bandar Hijau, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Datuk Seri Mohd Najib Razak (dua dari kiri) diiringi Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kiri) bersama Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (empat dari kiri) melihat pesakit Mohamad Nor Idzhar Mohd Shahrir, 29, (kiri) dari Pulau Pinang menggunakan peralatan 'Lokomat' ketika sesi latihan berjalan semula pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Hang Tuah Jaya, Bandar Hijau, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

DURIAN TUNGGAL: Lebih 15,652 individu menerima rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini, yang bertaraf antarabangsa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata sejak pusat rehabilitasi itu beroperasi pada Oktober 2014, seramai 968 daripada 1,500 pesakit yang mendapatkan rawatan di situ berjaya dipulihkan dan kembali bekerja.

"Pusat Rehabilitasi PERKESO ini adalah kesinambungan daripada program 'Return to Work' atau Kembali Bekerja yang dilancarkan oleh PERKESO dengan pesakit menerima rawatan secara komprehensif dan berdisiplin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bandar Teknologi Hijau, hari ini.

Pada majlis itu, Najib turut menamakan pusat rawatan itu sebagai Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR).

Antara rawatan komprehensif yang ditawarkan adalah fisioterapi, terapi hidro, terapi pertuturan dan latihan pemulihan secara vokasional bagi membolehkan pesakit kembali bekerja.

Richard berkata, beliau berbangga dengan misi dan visi pengurusan PERKESO dalam menjalankan perlindungan sosial secara menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan pekerja.

"Ia bukan saja memelihara perlindungan sosial dalam memberikan pampasan, malah membuka peluang kepada pesakit untuk pulih dan kembali semula dalam masyarakat," katanya.

Hayati Budin, 40, berkata beliau menghidap penyakit kencing manis sejak berusia 12 tahun dan mendapatkan rawatan di PRPTAR pada April tahun lalu selepas kaki kanannya dipotong pada tahun 2014 diikuti sebelah kiri pada 2015.

"Selepas pembedahan itu, saya dihantar ke sini untuk mendapatkan rawatan. Ia mengubah keadaan saya, daripada tidak tahu menguruskan diri sendiri, kini banyak kerja saya boleh buat sendiri.

"Saya tak nafikan, saya tertekan dan murung apabila tiada kaki, tetapi PRPTAR membantu memulihkan semangat saya untuk kembali bangkit," katanya yang bercadang membuka perniagaan membuat kek dan roti tidak lama lagi.

Berita Harian X