Khamis, 20 April 2017 | 11:11pm

400 penduduk Kampung Trolak Pekan terjejas banjir

ANGGOTA bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memasukkan barang keperluan ke dalam bot untuk dihantar kepada mangsa banjir di Kampung Trolak Pekan, malam tadi. - Foto Rosman Shamsudin
ANGGOTA bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memasukkan barang keperluan ke dalam bot untuk dihantar kepada mangsa banjir di Kampung Trolak Pekan, malam tadi. - Foto Rosman Shamsudin

TROLAK: Kira-kira 400 penduduk Kampung Trolak Pekan di sini dipindahkan berikutan kawasan kediaman mereka ditenggelami air berikutan hujan selama empat jam petang tadi.

Banjir dipercayai berpunca limpahan air Sungai Trolak memasuki kawasan kampung sehingga paras kira-kira satu meter.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Slim River, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikejarkan ke kawasan itu untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Penghulu Mukim Slim, Abdul Rahman Mohd Suhaimi berkata, semua mangsa banjir dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak Pekan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Beliau berkata, setakat ini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan menghantar bekalan keperluan kepada mangsa banjir dengan menggunakan bot.

Katanya, sehingga jam 9.40 malam air mulai surut namun penduduk masih bimbang kerana hujan belum reda sepenuhnya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Slim River berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 9.46 malam dan anggota yang tiba mendapati banjir kilat berlaku di kawasan tertentu di pekan Trolak.

Katanya, anggota turut membantu memindahkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ke pusat pemindahan dan seterusnya memantau keadaan.

Berita Harian X