Sabtu, 8 April 2017 | 1:20pm

BDB Triple Challenge promosi pelancongan Kedah

PENGARAH Urusan Kumpulan Bina Darulaman Bhd, Datuk Izham Yusof (dua dari kanan) melancarkan BDB Climb & Run Langkawi di pekarangan Underwater World Langkawi, hari ini . - Foto Hamzah Osman
PENGARAH Urusan Kumpulan Bina Darulaman Bhd, Datuk Izham Yusof (dua dari kanan) melancarkan BDB Climb & Run Langkawi di pekarangan Underwater World Langkawi, hari ini . - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Syarikat milik kerajaan negeri, Bina Darulaman Bhd (BDB) yakin penganjuran sukan lasak 'BDB Triple Challenge 2017' mampu mempromosi lokasi terpinggir di Kedah, sekali gus melonjak sektor pelancongan negeri menerusi limpahan publisiti dan kehadiran peserta dari seluruh dunia.

'BDB Triple Challenge 2017' membabitkan tiga acara lasak yang disusun sepanjang tahun ini iaitu BDB Climb & Run Langkawi pada 22 April ini, selain BDB Extreme pada 23 September di Bandar Darul Aman, Jitra dan BDB Water Rafting 18 November, Sungai Sedim, Kulim.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusof, berkata penganjuran aktiviti serampang dua mata yang memasuki edisi kedua bermula 22 April ini adalah strategi terbaharu pihaknya untuk membantu melonjak nama lokasi terpinggir di Kedah sebagai destinasi pelancongan berjenama besar.

"Acara ini bukan setakat sukan lasak semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks semangat sebenar untuk memajukan pelancongan negeri dengan memperkenalkan lokasi terpinggir sebagai tarikan baharu pelancong, khususnya di Langkawi, Jitra dan Kulim.

"Misalnya, ketika beraksi dalam acara 'BDB Climb & Run Langkawi' pada 22 April ini, peserta boleh melihat lebih 70 spesies pokok, herba 120 spesis dan 100 spesis rama-rama di persekitaran Gunung Raya di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan BDB Climb & Run Langkawi di pekarangan Underwater World Langkawi di sini, sebentar tadi.

Pada masa sama beliau berkata, melalui kategori BDB Climb & Run Langkawi, semua peserta tempatan dan antarabangsa perlu memerah kudrat untuk mendaki dan menuruni 4,287 anak Tangga Helang Seribu Kenangan sambil berlari dan pada masa sama meneroka khazanah alam di Gunung Raya.

Katanya, manakala bagi acara kedua di Jitra, peserta perlu mengharungi himpunan pelbagai sukan ekstrem di Tasik Darulaman, diikuti acara berakit menyusuri Sungai Sedim di Kulim yang juga antara cabaran baharu yang diperkenalkan pada esisi kedua ini.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan turut memberi sokongan ke atas penganjuran acara sukan lasak yang julung kali diadakan kawasan Utara Semenanjung itu, berbanding sebelum ini kebanyakannya berpusat di Lembah Kelang.

Berita Harian X