Rabu, 5 April 2017 | 5:27pm

Pak Wan nak catat rekod berkayuh 3,000km

PENGASAS Syarikat Kosmetik Sweetiey, Nur Baiti Yusof (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Wan Hashim Wan Mahmood (tiga dari kanan) selepas mengadakan sesi sidang media Program Kembara 3,000 kilometer Pak Wan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Hotel Grand Riverview. - Foto Faris Zainuldin.
PENGASAS Syarikat Kosmetik Sweetiey, Nur Baiti Yusof (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Wan Hashim Wan Mahmood (tiga dari kanan) selepas mengadakan sesi sidang media Program Kembara 3,000 kilometer Pak Wan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Hotel Grand Riverview. - Foto Faris Zainuldin.

KOTA BHARU: KOTA BHARU: Usia 72 tahun tidak menjadi penghalang buat Wan Hashim Wan Mahmood, untuk melakukan kayuhan berbasikal sejauh 3,000 kilometer (km) selama 41 hari, bermula Sabtu ini.

Wan Hashim yang disertai jurugambar BERNAMA Kelantan, Shahuri Awang, 31, mahu sekali lagi mencipta nama di Malaysia Book Of Records (MBOR) seperti yang dilakukannya secara bersendirian pada 2014 dan 2015.

Beliau yang mesra dikenali Pak Wan berkata, kayuhan akan bermula di Kota Bharu membabitkan laluan Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand sebelum kembali semula ke tanah air pada 16 Mei ini.

Katanya, dalam misi kayuhan ini, mereka akan singgah di beberapa tempat di Selatan Thailand iaitu Hat Yai, Narathiwat, Pattani, dan Songkla untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan di sana.

"Jelajah kali ini berbeza dengan kembara solo pada 2014 dan 2015 kerana ia akan disertai jurugambar media bagi tujuan merakamkan detik pengalaman kayuhan yang akan dikisahkan pada sebuah buku nanti.

"Selain itu, kami juga akan menziarah rumah anak yatim dan pondok di Selatan Thailand dengan memberi sumbangan yang ditaja oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan syarikat kosmetik, Sweetiey," katanya pada sidang media di Hotel Grandriver View (GRV) di sini, hari ini.

BH sebelum ini, melaporkan Wan Hashim mencipta nama dalam MBOR selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014.

Beliau sekali lagi mencipta nama pada Januari 2015 apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah negara ini, sejauh 8,000 km.

Sementara itu, Shahuri berkata kayuhan itu adalah kali pertama disertainya dan bakal memberi pengalaman bermakna.

"Sebelum ini, saya aktif mengayuh basikal mengelilingi bandar Kota Bharu pada waktu malam dan penyertaan bersama Pak Wan adalah yang pertama," katanya.

Berita Harian X