Selasa, 4 April 2017 | 4:35pm

Pastikan MoU dilaksanakan - Najib

DATUK Seri Najib Razak bermesra dengan ahli perniagaan Malaysia di New Delhi. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Najib Razak bermesra dengan ahli perniagaan Malaysia di New Delhi. - Foto BERNAMA

NEW DELHI: Datuk Seri Najib Razak memberi peringatan kepada semua syarikat swasta dan usahawan Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) memastikan projek itu menjadi kenyataan.

Perdana Menteri mengingatkan ahli perniagaan imej Malaysia akan tercemar jika MoU itu tidak dilaksanakan seperti dijanjikan.

"Saya mahu MoU ditandatangani menjadi memorandum perjanjian (MoA) dan berakhir dengan pelaksanaan sehingga menjadi realiti.

"Tidak guna setakat tandatangan MoU tanpa melaksanakannya. Itu akan menjejaskan nama baik Malaysia sebagai negara perdagangan," katanya berucap pada majlis koktel Forum Perniagaan Malaysia-India di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri lebih 200 usahawan Malaysia yang kebanyakannya terbabit dalam projek atau memeterai MoU dengan syarikat negara itu.

Najib berkata demikian mengulas kejayaan Malaysia-India memeterai 31 MoU bernilai RM158.4 bilion yang disifatkannya yang terbesar dengan India.

"Kita kena tunjuk kepada India dan dunia, kita boleh lakukan yang terbaik dalam apa juga projek yang ditawarkan kepada kita

"Selain 31 MoU itu, kita hampir pasti memperoleh dua projek infrastruktur yang besar di negeri Rajasthan," katanya.

Najib juga menyifatkan lawatannya ke India kali ini amat berjaya dan hubungan kedua-dua negara kini sudah mencapai tahap tertinggi.

Beliau berkata, Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah memberi pengiktirafan tertinggi kepada kepada Malaysia dengan menerima beliau pada petang Sabtu dan ketika Modi sedang berpuasa sembilan hari sempena sambutan Navarathri.

"Perdana Menteri Modi menganggap kita sebagai kawan dan memberi jaminan sedia bersama kita dalam meningkatkan hubungan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X