Sabtu, 1 April 2017 | 11:56pm

Pelajar asing dipelawa belajar di UA Malaysia - PM

NAJIB dan Modi pada pertemuan di Hyderabad House, di New Delhi, India. - Foto Reuters
NAJIB dan Modi pada pertemuan di Hyderabad House, di New Delhi, India. - Foto Reuters

NEW DELHI: Malaysia bercadang meliberalisasikan pendidikan tinggi dengan menawarkan 15 peratus tempat di universiti awam (UA) kepada pelajar asing.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengajak lebih ramai pelajar dari India mengambil peluang itu untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan India kerana memberi peluang kepada pelajar kita untuk belajar dalam bidang perubatan dan pergigian selama ini," katanya.

Beliau berkata pendidikan adalah antara perkara dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Narendra Modi di sini, sebentar tadi.

Najib berkata demikian pada sidang media bersama Modi selepas itu.

Perdana Menteri berkata, Modi juga berminat dengan kejayaan Malaysia dalam memerangi kegiatan keganasan dan program deradikalisasi.

"Perdana Menteri Modi juga ingin tahu lanjut mengenai program deradikalisasi. Saya menghadiahkan sebuah buku mengandungi modul kita dan sedia kongsi kepakaran.

"Satu persidangan mengenainya akan diadakan di India tahun depan," katanya.

Najib berkata, kedua-dua mereka juga membincangkan mengenai Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang perlu dipercepatkan.

Katanya, selepas ketiadaan kerjasama Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), RCEP menjadi lebih relevan dan berharap ia menjadi realiti akhir tahun ini.

Sementara itu, Modi memuji pendirian Malaysia dan Najib dalam memerangi keganasan.

Katanya, Malaysia dan India adalah ekonomi baharu yang boleh menawarkan potensi yang luas kepada dunia.

Berita Harian X