Sabtu, 1 April 2017 | 10:14pm

Malaysia-India: Tahap hubungan strategik lebih tinggi

DATUK Seri Najib Tun Razak mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri India, Narendra Modi sempena lawatan rasmi enam hari beliau ke India, hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Najib Tun Razak mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri India, Narendra Modi sempena lawatan rasmi enam hari beliau ke India, hari ini. - Foto BERNAMA

NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, berikrar untuk membina hubungan keakraban yang kukuh dalam pelbagai bidang bagi kebaikan masa depan rakyat kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan mereka di Hyderabad House di sini, kedua-dua pemimpin menekan persahabatan diplomatik yang sejak 60 tahun lalu dalam konteks sejarah, budaya dan sosial diperluaskan dan diangkat ke peringkat strategik yang lebih tinggi.

Mereka turut menyatakan komitmen terhadap kepelbagaian budaya, demokrasi yang dikongsi bersama dan menggalakkan pembangunan ekonomi yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan, pertahanan dan keselamatan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Najib dan Modi mengadakan pertemuan empat mata disusuli mesyuarat dua hala yang disertai pemimpin kedua-dua negara serta menyaksikan pertukaran tujuh dokumen perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan (G2G).

Untuk mencapai matlamat meningkatkan hubungan strategik ke tahap lebih tingggi, kedua-dua mereka bersetuju mengadakan persidangan secara berkala, mengatur pertemuan peringkat menteri, khususnya Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Pengangkutan, Kerja Raya dan Infrastruktur, Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengambil peluang daripada pelaburan, perdagangan dan peluang diwujudkan di kedua-dua negara.

Dalam kenyataan itu, Najib dan Modi turut mengutuk tindakan keganasan di rantau ini dan menyatakan untuk terus membanteras keganasan dalam semua bentuk.

Mereka juga bersetuju:

*Mewujudkan suasana mesra perniagaan di antara kedua-dua negara.

* Berpuas hati dengan penyertaan dan pencapaian syarikat Malaysia dalam projek jalan raya di Rajasthan dan negeri lain di India.

* Mahu peluang yang lebih luas diwujudkan untuk PKS kedua-dua negara.

* Bersetuju untuk memuktamadkan Perjanjian Pemindahan Banduan dalam terma yang dipersetujui kedua-dua negara.

* MoU mengenai kerjasama membanteras kegiatan pengganas dan jenayah rentas sempadan.

* Menyambut baik MoU untuk mewujudkan kursi Ayurveda di Universiti Tunku Abdul Rahman, MoU di antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Persatuan Universiti-Universiti India mengenai pengiktirafan kelayakan pengajian di kedua-dua negara

*Menyambut baik inisiatif kerajaan Malaysia untuk memperluaskan program visa percuma untuk warga India ke Malaysia

* Bersetuju untuk mempercepatkan MoU berhubung pekerja dan sumber manusia.

Berita Harian X