Khamis, 30 March 2017 | 4:20pm

Bersedia hadapi risiko baharu - NIOSH

 PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MANJUNG: Majikan, pekerja dan pihak penguat kuasa perlu sentiasa bersedia menghadapi risiko baharu yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha perlu dipertingkatkan melalui kerjasama semua pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan industri malah mencapai sasaran sifar kemalangan di tempat kerja.

Beliau berkata, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) jumlah kemalangan industri menunjukkan penurunan iaitu 35,898 kes pada 2013 kepada 35,294 pada 2014 dan 34,258 kes pada 2015.

Katanya, walaupun kes menurun majikan, pekerja dan pihak penguat kuasa perlu sentiasa bersedia menghadapi risiko baharu.

"Masalah ini boleh menjadi punca kepada peningkatan kadar kemalangan di tempat kerja dan faktor utama terjadinya penyakit berkaitan.

"Justeru itu, majikan perlu memastikan semua pekerja mereka terlatih dan persekitaran tempat kerja dalam keadaan selamat," katanya berucap ketika merasmikan Pejabat Satelit NIOSH di Seri Manjung, di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, masalah yang berlaku dapat diatasi dengan efektif melalui latihan dan amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang baik.

Sementara itu, beliau berkata pemilihan Seri Manjung sebagai lokasi baharu pejabat NIOSH Wilayah Utara (Manjung) yang mempunyai tiga bilik kursus mampu memuatkan 70 peserta dalam satu masa adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik dengan jaringan jalan raya yang menghubungkannya dengan daerah lain di Perak.

Katanya, Manjung sendiri semakin berkembang pesat dengan pelbagai pembangunan dan perindustrian yang secara langsungnya memerlukan latihan menyeluruh dalam bidang KKP.

"NIOSH menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 3,000 peserta setahun dalam pelbagai bidang KKP mulai tahun ini di Perak," katanya.

Berita Harian X