Selasa, 28 March 2017 | 10:42pm

Najib lawat India enam hari bermula Khamis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melakukan lawatan rasmi ke India selama enam hari, bermula Khamis ini.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri India, Narendra Modi itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan India yang terjalin sejak 60 tahun lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk bertukar pandangan berkaitan isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.

Katanya, Najib dijangka melawat beberapa kawasan seperti New Delhi, Chennai dan Jaipur bagi menghadiri beberapa mesyuarat dua hala, selain mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan India.

Najib dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden India, Pranab Mukherjee di New Delhi, sebelum menghadiri mesyuarat dengan rakan sejawatnya serta mesyuarat dua hala bersama delegasi kedua-dua negara, selain sesi dialog bersama pemimpin industri perniagaan India.

"Isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat dua hala termasuklah perdagangan dan pelaburan, projek infrastruktur, kerjasama pertahanan, pengurusan pengangkutan udara, kerjasama pelancongan dan kebudayaan serta isu serantau dan antarabangsa.

"Beberapa memorandum persefahaman dan dokumen akan ditandatangani ketika lawatan ini.

"Malaysia yakin lawatan Perdana Menteri ke India kali ini bakal meningkatkan kerjasama sedia ada dengan India, bukan saja bagi skop dua hala, malah dalam isu serantau dan antarabangsa," kata kementerian itu hari ini.

Lawatan rasmi ke India itu adalah yang ketiga bagi Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009.

Najib turut dijadualkan menghadiri mesyuarat bersama Ketua Menteri Tamil Nadu, Edappadi Palaniswamy di Chennai, selain sesi dialog bersama komuniti Malaysia di India.

Di Jaipur, Najib dijangka bertemu dengan Ketua Menteri Rajashtan, Vasundhara Raje Scindia, menghadiri perbincangan berkaitan pencapaian syarikat Malaysia serta melihat sendiri pembabitan negara ini dalam projek pembangunan infrastruktur di India.

"Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri dijangka merasmikan Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi yang baharu disiapkan," katanya.

Berita Harian X