Isnin, 27 March 2017 | 10:59am

MQA terus kerjasama dengan TEQSA, Australia

PETALING JAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melanjutkan memorandum kerjasama (MoC) dengan Tertiary Education Quality and Standards Agency (TEQSA), Australia bagi meningkatkan kerjasama teknikal antara kedua-dua agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pemeteraian itu membolehkan dua agensi terbabit bertukar maklumat berkaitan akreditasi dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.

Katanya, jalinan itu juga memberi peluang kakitangan kedua-dua agensi untuk saling belajar antara satu sama lain, melaksanakan peraturan dan tanggungjawab berkaitan jaminan kualiti dengan lebih berkesan.

"Dari segi pembangunan kapasiti, MoC ini bakal membuka peluang pembangunan pegawai kedua-dua agensi mengikuti program pertukaran staf antara kedua-dua pihak manakala mobiliti pelajar antara dua negara ini juga akan ditingkatkan.

"Jalinan ini dijangka mengukuhkan kedudukan MQA sebagai autoriti global dalam jaminan kualiti yang diperakui di peringkat antarabangsa," katanya

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoC di Menara PKNS, di sini, hari ini.

Pada majlis itu Rujhan mewakili MQA, manakala TEQSA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anthony McClaran.

Rujhan berkata, satu MoC telah termeterai pada 2013 yang akan tamat pada 18 September depan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan kerjasama itu untuk tempoh tiga tahun lagi.

Berita Harian X