Khamis, 23 March 2017 | 12:10pm

Syarat ketat pemilikan RIBJ - Sultan Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah di Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Istana Besar Johor. Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam. - Foto ihsan Jabatan Penerangan
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah di Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Istana Besar Johor. Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam. - Foto ihsan Jabatan Penerangan

JOHOR BAHRU: Sultan Johor bertitah satu lembaga pemilihan akan ditubuhkan bagi membuat tapisan dan penilaian terhadap permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) Yayasan Sultan Ibrahim yang dilancarkan baginda, semalam.

Sultan Ibrahim Iskandar turut mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak melobi baginda bagi mendapatkan RIBJ.

"Jangan melobi saya untuk dapat rumah terbabit. Saya akan pastikan projek ini berjaya demi memberikan peluang kepada Bangsa Johor yang kurang berkemampuan untuk memiliki sebuah rumah yang selesa.

"Ini hadiah daripada saya untuk membantu rakyat Johor yang betul-betul susah. Rumah ini akan ditawarkan kepada golongan yang betul-betul layak sahaja dengan syarat pemilihan yang amat ketat," titah baginda.

Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Istana Besar, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan majlis prapelancaran RIBJ Yayasan Sultan Ibrahim di pusat beli belah Galleria@Kotaraya yang turut dihadiri ribuan rakyat Johor.

Projek itu bermula hasil cetusan idea Sultan Ibrahim bagi membantu rakyat yang masih belum memiliki rumah dengan Rumah Bangsa Johor akan merangkumi pelbagai kategori harga dan jenis rumah dengan turut disediakan pelbagai kelengkapan rumah terutama peralatan elektrik.

Projek itu membabitkan lebih 1,800 unit di tiga lokasi bandar raya ini iaitu Bandar Dato Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana dengan harga antara RM80,000 hingga RM420,000.

Yayasan Sultan Ibrahim yang ditubuhkan pada 14 Julai tahun lalu bertujuan menyalurkan bantuan untuk kebajikan rakyat Johor terutama berkaitan isu pemilikan rumah.

Pada peringkat permulaan, tumpuan yayasan ialah menjayakan Rumah Impian Bangsa Johor yang mensasarkan pembinaan rumah mampu milik bagi golongan yang memerlukan.

Berita Harian X