Rabu, 22 March 2017 | 4:30pm

Kerusi Senat untuk P Ramlee

TAN Sri Mohd Yussof Latiff ketika sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-88 Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Pejabat Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Jalan Pemenang, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
TAN Sri Mohd Yussof Latiff ketika sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-88 Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Pejabat Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Jalan Pemenang, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Sempena ulang tahun kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee ke-88 hari ini, Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) berhasrat mewujudkan kerusi Senat Allahyarham Tan Sri P Ramlee di universiti awam, bagi mengingati sumbangan seniman agung itu kepada negara.

Presidennya, Tan Sri Yusoff Latiff, berkata cadangan berkenaan sudah dikemukakan kepada sebuah universiti tempatan di negeri ini dan kini dalam proses rundingan, hasil kerjasama bersama Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerusi berkenaan akan diberikan kepada seorang profesor terpilih bagi merealisasikan hasrat PEMENANG yang ingin memartabatkan nama tokoh seniman negara itu di peringkat lebih tinggi.

"Ini adalah usaha PEMENANG dan Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang bagi memastikan setiap peringkat masyarakat mengingati dan menghargai sumbangan P Ramlee terhadap dunia lakonan, nyanyian dan filem tempatan.

"Cadangan ini juga adalah bertepatan bagi menonjolkan beliau sebagai ikon perpaduan, yang banyak menghasilkan filem memartabatkan setiap kaum di negara ini," katanya pada sidang media di pejabat PEMENANG di sini, hari ini.

Yusoff berkata, kerusi itu juga akan dibiayai sepenuhnya oleh PEMENANG, selain turut akan menaja sebarang program membabitkan dialog, seminar, atau kajian mengenai P Ramlee.

Sementara itu, laman carian Google turut memberikan penghormatan menerusi Doodle atau lakaran seniman agung itu pada enjin carian internet berkenaan.

Imej P Ramlee dilakar memakai sut petak, bermisai nipis, sambil memegang sehelai kertas di tangan kirinya, alat pembesar suara di tangan kanan dan sebuah gitar yang diletakkan di belakang kerusinya.

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih menyumbang lebih daripada 60 karya filem dan menggubah sekitar 250 lagu ketika zaman kegemilangannya.

Beliau dilahirkan pada 22 Mac 1929 dan meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

Berita Harian X