Ahad, 19 March 2017 | 1:22am
DATUK Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diiringi Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menaiki beca ketika hadir pada majlis perasmian Pesta Beautiful Terengganu 2017 Red One di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori
DATUK Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diiringi Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menaiki beca ketika hadir pada majlis perasmian Pesta Beautiful Terengganu 2017 Red One di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Martabat seni warisan negara ke peringkat antarabangsa

Anggota pertahanan awam Perancis mengambil bahagian dalam operasi menyelamat ketika banjir di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP
Anggota pertahanan awam Perancis mengambil bahagian dalam operasi menyelamat ketika banjir di Le Muy, tenggara Perancis, semalam. -Foto AFP

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berhasrat membawa kesenian dan warisan negara ke peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata usaha itu dilihat mampu memartabatkan seni warisan tempatan ke tahap lebih tinggi, selain memperkenalkannya sebagai satu tarikan pelancong ke Malaysia.

"Bagi menghidupkan kesenian ini, kita perlu bawa ia ke negara luar. Jadi pelancong dari Jepun, China, Korea dan Eropah umpamanya, yang begitu berminat dengan seni budaya ini akan tertarik dengan apa yang kita ada, sekali gus mendorong mereka datang ke Malaysia.

"Malah, kita juga merancang menganjurkan malam kesenian negeri di Istana Budaya bagi memperkenalkan kesenian, warisan dan makanan tradisi yang terdapat di setiap negeri dalam negara ini," katanya selepas majlis perasmian Pesta Pantai Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pantai Batu Buruk, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Mohamed Nazri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri (JKKN) bagi menjayakan program yang bakal dilangsungkan selama empat hari di Istana Budaya.

"Untuk permulaan, kita akan berbincang dengan JKKN Terengganu untuk membawa aktiviti kesenian, budaya dan makanan yang terdapat di sini ke Istana Budaya.

"Ia bertepatan bagi menarik minat anak muda untuk sama-sama menghayati warisan yang ada di setiap negeri.

"Selain itu, kita juga merancang memperkenalkan silat kura-kura yang terkenal di Terengganu di persada antarabangsa. Saya yakin seni ini dapat diperkembangkan pengaruhnya bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara," katanya.

Sementara itu Mohamed Nazri berkata, penganjuran Pesta Pantai adalah program yang dilaksanakan sempena VBT2017 dan ia dianggap sebagai serampang dua mata kepada sektor ekonomi di negara ini.

Berita Harian X