Sabtu, 11 March 2017 | 6:59pm

Duta nafi pelaburan sekat rezeki rakyat M'sia

DUTA China ke Malaysia, Dr Huang Huikang ketika melawat tapak Melaka Gateway di Pulau Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
DUTA China ke Malaysia, Dr Huang Huikang ketika melawat tapak Melaka Gateway di Pulau Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kerajaan China menafikan pelaburan syarikat negara itu dalam sektor perindustrian tempatan menyekat rezeki rakyat di negara ini.

Malah, kerajaan China juga menolak tuduhan tanah negara ini dijual kepada syarikat dari republik itu.

Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, berkata banyak pihak keliru dan tidak memahami tujuan kerjasama yang terjalin antara Malaysia dan China ketika ini.

"Mereka (pihak tertentu) menyangka kami (China) mahu mengacau periuk nasi rakyat negara ini, malah menyatakan kami mahu merompak tanah di negara ini.

"Ini adalah tuduhan palsu. Kerajaan China ke Malaysia kerana mahu membantu melakukan transformasi terhadap ekonomi, seterusnya memperkasakan sektor perindustrian negara ini, " katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengkritik pelabur China seolah-olah merompak peluang rakyat tempatan dalam industri pekerjaan dan ekonomi negara.

Terdahulu, Huikang melawat kilang kaca solar, Xinyi Smart Energy dan Xinyi Solar di Lipat Kajang, Jasin; syarikat PowerChina International Group Limited di Melaka Gateway, Pulau Melaka dan syarikat Wing Tai Malaysia Berhad di Jaya 99, Jalan Tun Sri Lanang di sini, hari ini.

Berita Harian X