Rabu, 1 March 2017 | 6:07pm
ABDULLAH Junaidi Hillaluddin, (tengah) menamatkan kayuhan solo mengelilingi satu Malaysia selama 22 hari yang bermula pada 7 February lalu di rumahnya di Taman Bakti, Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri
ABDULLAH Junaidi Hillaluddin, (tengah) menamatkan kayuhan solo mengelilingi satu Malaysia selama 22 hari yang bermula pada 7 February lalu di rumahnya di Taman Bakti, Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri
AHLI keluarga menyambut ketibaan Abdullah Junaidi Hillaluddin di rumahnya di Taman Bakti, Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri
AHLI keluarga menyambut ketibaan Abdullah Junaidi Hillaluddin di rumahnya di Taman Bakti, Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri

Pemuda tamat kayuhan solo 1,500km

KOTA BHARU: Hampir dilanggar lori adalah pengalaman sukar dilupakan oleh pemuda, Abdullah Junaidi Hillaluddin, 23, yang membuat kayuhan solo sejauh 1,500 kilometer (km) dengan mengelilingi Semenanjung Malaysia selama 22 hari.

Abdullah Junaidi yang menamatkan kayuhannya hari ini, berkata beliau hampir dilanggar lori ketika berkayuh di kawasan perindustrian Meru, Klang.

"Selain dari itu, pada hari kedua perjalanan saya juga terpaksa dibawa ke klinik kesihatan akibat mengalami strok haba namun Alhamdulillah keesokkannya saya dapat meneruskan kayuhan seperti biasa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bakti Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Beliau yang juga pelajar lepasan Diploma Elektrikal Peralatan Universiti Teknologi MARA (UITM) kampus Dungun, Terengganu, memulakan kayuhan solonya pada 7 Februari lalu dengan bantuan dua kru yang menaiki kereta.

"Saya mengambil masa sebulan untuk melakukan persiapan termasuklah melakukan kayuhan setiap hari serta membuat pemeriksaan terhadap basikal serta peralatan.

"Laluan paling mencabar bagi saya ketika mendaki Banjaran Titiwangsa kerana jarak yang dilalui mencecah 60km dengan ketinggian 1,382 meter dari aras laut," katanya.

Abdullah Junaidi juga terkejut apabila ramai yang memberi sokongan ketika beliau melakukan kayuhan termasuklah daripada anggota polis, tentera, pemandu lori serta orang kampung.

"Sepanjang perjalanan, sebanyak 17 perhentian saya singgah iaitu di masjid serta surau dan orang ramai yang ditemui di kawasan sekitar turut membantu seperti memberikan makanan dan tempat tinggal yang selesa bagi saya," katanya.

Berita Harian X