Selasa, 28 Februari 2017 | 8:17pm

Kakitangan FELDA berpeluang sambung belajar di OUM

PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (tengah) bergambar bersama dengan (dari kiri), Pengarah Jabatan Pendidikan FELDA, Mohd Ridzuan Mohd Noor; Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Ekonomi) FELDA, Ab Ghani Mohd Ali; Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Anuar Malek; Presiden OUM, Prof Datuk Dr Mansor Fadzil; Naib Presiden OUM, Prof Dr Shaari Abd Hamid dan Ketua Peneroka Kebangsaan FELDA, Shamsuddin Othman pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan OUM di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini berpeluang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Sosial yang dijalinkan bersama Open University Malaysia (OUM).

Presiden OUM, Prof Datuk Dr Mansor Fadzil, berkata kerjasama julung kali itu akan membuka peluang kepada kakitangan FELDA dan Jawatankuasa Perunding FELDA untuk menyambung pengajian di menara gading.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, hanya program Sarjana Muda Komunikasi ditawarkan dan kakitangan FELDA perlu menempuhi sesi pembelajaran empat tahun.

"Menariknya kerjasama ini, kita turut menawarkan kursus khas yang merangkumi sejarah dan latar belakang FELDA, organisasi, perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) FELDA melalui program ini.

"Saya percaya, elemen ini akan memberi nilai tambah kepada warga FELDA dalam memberikan kefahaman yang kelas mengenai peranan dan tanggungjawab FELDA kepada orang ramai.

"OUM juga berbesar hati menawarkan potongan yuran sebanyak 10 peratus kepada pelajar (dari FELDA) yang mendaftar dalam program Sarjana Muda Komunikasi, " katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan OUM yang disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahir Abdul Samad, di sini, hari ini.

Mansor mewakili OUM manakala FELDA diwakili Timbalan Pengarah Besar, Anuar Malik menandatangani MoU itu.

Selain itu, Mansor berkata, semua pelajar layak untuk memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau pengeluaran simpanan Akaun Dua, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Katanya, langkah itu dapat dimanfaatkan bagi mereka yang tidak mampu membayar yuran pengajian.

Sementara itu,  Anuar berkata, program itu terbuka kepada semua kakitangan yang berminat dan jika sambutan yang diterima menggalakkan, pelbagai program akan ditawarkan.

Katanya, beliau yakin kerjasama itu mampu meningkatkan produktiviti kakitangan FELDA dan berharap pengetahuan dapat digunakan dalam menempuhi cabaran era globalisasi.

Berita Harian X