Khamis, 23 Februari 2017 | 12:38pm

Ahli politik luar jangan cuba tunjuk pandai - Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. - Foto BERNAMA
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. - Foto BERNAMA

MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memberi amaran kepada ahli politik luar supaya tidak tunjuk pandai dan mencampuri urusan negeri ini.

Baginda bertitah, jangan cuba menakut-nakut serta mengelirukan rakyat Johor dengan cerita dongeng yang direka-reka sehingga masyarakat berpecah-belah.

"Nasihat saya kepada pemimpin politik luar yang zamannya sudah berlalu ini, cukup-cukuplah, jangan sibuk jaga tepi kain orang tetapi kain sendiri tidak terjaga.

"Dulu sindir orang kata Melayu mudah lupa, tapi kini dah boleh duduk semeja dengan pembangkang. Sekarang dia pula lupa atau mungkin dah nyanyuk agaknya.

"Selagi memerintah, saya akan terus pertahankan Johor, apatah lagi saya sudah dididik untuk jaga negeri ini sejak kecil.

"Tak akanlah saya nak menganiaya rakyat negeri sendiri," titah baginda ketika merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong, dekat sini, hari ini.

Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang tiba di galeri berkenaan jam 9.55 pagi.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Ibrahim turut mengucapkan syabas kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta Jabatan Peguam Negara kerana berjaya menemui bukti baharu berkaitan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca).

Baginda bertitah Pulau Batu Puteh perlu diperjuangkan kerana ia adalah kedaulatan negara yang perlu dipertahankan.

"Saya masih ingat pesan Almarhum Sultan Iskandar Ismail, yang bertitah bahawa Pulau Batu Puteh milik Johor.

"Walaupun kecil, setiap incinya perlu dipertahankan demi kedaulatan negara kita.

"Saya minta semua rakyat terus berdoa supaya kita beroleh kejayaan dalam semakan kehakiman yang dibuat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)," titah baginda.

Berita Harian X