Jumaat, 17 Februari 2017 | 10:55am

SPEF PR1MA bantu B40 beli rumah

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menempelak Parti Amanah Nasional yang mendakwa Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) PR1MA akan membebankan pembeli rumah serta mewujudkan 'masyarakat penghutang'.

Nazir Hussin Akhtar Hussin
Nazir Hussin Akhtar Hussin

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata dakwaan Exco Pemuda parti serpihan PAS itu, Mohd Ammar Atan Mohd Ammar itu secara halus cuba memberi tanggapan tidak baik kepada pembeli yang membeli rumah menerusi skim berkenaan.

"Adakah beliau sedar bahawa Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ini diwujudkan kerajaan khusus untuk membantu golongan B40 yang terdiri daripada 30.6 peratus isi rumah daripada kumpulan berkenaan masih lagi tinggal di rumah sewa.

"Statistik ini dirujuk daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES) pada tahun 2014.

"SPEF adalah salah satu kaedah atau skim ditawarkan kerajaan melalui PR1MA seperti Skim 'Rent To Own' bagi membolehkan serta memberi kemudahan yang terbaik kepada pemohon yang ingin memiliki rumah sendiri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Mohd Ammar semalam yang mengatakan SPEF menggalakkan rakyat memiliki kediaman secara tidak berhemah ketika kadar hutang isi rumah di negara ini berbanding pendapatan boleh guna di negara ini didakwa antara yang tertinggi di dunia iaitu mencecah 140 peratus.

Nazir Hussin berkata, semua pihak perlu melihat inisiatif berkenaan dengan perspektif yang lebih luas apabila wujud kekangan yang perlu dihadapi sebahagian besar golongan muda untuk mendapat pinjaman perumahan.

"Melalui usaha murni kerajaan ini, golongan muda tidak lagi perlu terus menerus menyewa rumah tetapi dapat memiliki kediaman sendiri yang akhirnya memberi keuntungan jangka panjang memandangkan nilai hartanah atau kediaman akan terus meningkat," katanya.

Berita Harian X