Ahad, 12 Februari 2017 | 5:21pm

Henti sebar maklumat tak tepat

DATUK Seri Dr Hilmi Yahaya (dua dari kiri) beramah mesra bersama penduduk Balik Pulau sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Sekolah dan Golongan Kurang Berkemampuan Parlimen Balik Pulau di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Zulaikha Zainuzman
DATUK Seri Dr Hilmi Yahaya (dua dari kiri) beramah mesra bersama penduduk Balik Pulau sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Sekolah dan Golongan Kurang Berkemampuan Parlimen Balik Pulau di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Zulaikha Zainuzman

BALIK PULAU: Pihak pembangkang perlu berhenti mengelirukan orang ramai berhubung isu kenaikan caj perkhidmatan hospital kerajaan kerana kebanyakan fakta yang dikemukakan tidak tepat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata kenaikan caj perkhidmatan hanya membabitkan bayaran bagi pesakit yang mendapat rawatan di Wad Kelas Pertama dan Kedua sahaja.

Katanya, bayaran Wad Kelas Tiga serta caj rawatan dan ubat yang diberi kepada pesakit tidak berubah sama sekali dengan kerajaan masih memberikan subsidi kepada rakyat seperti biasa.

"Seramai 2.2 juta pesakit mendapat rawatan di wad hospital kerajaan tahun lalu, dengan hanya 30,000 menggunakan Wad Kelas Pertama dan Kedua, manakala bakinya dirawat di Wad Kelas Tiga.

"Isu ini sengaja diperbesarkan pembangkang sedangkan caj perkhidmatan seperti ubat dan pemeriksaan doktor yang dikenakan terhadap pesakit masih sama seperti sebelum ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Sekolah dan Golongan Kurang Berkemampuan Parlimen Balik Pulau di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenaikan bayaran rawatan Kelas Pertama dan Kedua, Dr Hilmi berkata kenaikan yang dikenakan masih minimum dan mampu ditanggung pesakit yang memilih menggunakannya.

Katanya, sekiranya pesakit tidak mahu menanggung caj perkhidmatan di wad terbabit, mereka masih boleh mendapatkan rawatan berkualiti di Wad Kelas Tiga yang bayarannya adalah lebih rendah.

Berita Harian X