Rabu, 8 Februari 2017 | 3:40pm

RUU warga emas dibentang bulan depan

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017 akan dibentangkan pada sesi sidang Parlimen, bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata RUU ini bertujuan mengawalselia pusat jagaan warga emas dan memastikan perkhidmatan kesihatan adalah mudah dan mampu diperoleh golongan itu.

Katanya, akta baharu diperlukan berikutan jumlah penduduk warga emas pada 2030 dijangka 15 peratus daripada populasi penduduk Malaysia iaitu kira-kira 4.5 juta orang.

"Bila akta ini dikuat kuasakan kelak yang mana kita jangka pada tahun ini, semua pusat jagaan warga emas swasta perlu berdaftar di bawah akta ini.

"Kita mahu semua pusat ini dikawal selia mengikut peraturan standard yang akan ditetapkan menerusi akta terbabit selain memastikan petugas di pusat jagaan kekal kompeten," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya prihatin untuk memastikan golongan warga emas mendapat penjagaan kesihatan dan jagaan harian yang optimum.

Berita Harian X