Selasa, 7 Februari 2017 | 4:33pm

Lebih 2,000 berus bulu babi dirampas

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyita sebanyak 2,003 unit berus cat yang dipercayai diperbuat daripada bulu babi daripada 37 premis seluruh negara setakat hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata nilai sitaan itu membabitkan RM10,988.94.

Katanya penguatkuasa KPDNKK di beberapa negeri membuat pemeriksaan di 157 premis seluruh negara melalui Ops Berus yang dilancarkan bermula semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Kesedaran Pengguna KPDNKK dan Skuda Smart Pengguna 1Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, mengikut Perintah Perihal Dagangan (barang-barang yang diperbuat daripada mana-mana bahagian babi atau anjing) 2013, mana-mana orang dalam perjalanan perniagaan apa-apa barang yang diperbuat daripada mana-mana bahagian anjing atau babi hendaklah mempamerkan secara berasingan daripada barang lain dan membuat penandaan dengan ungkapan yang jelas seperti 'barang ini diperbuat daripada babi atau anjing'.

Di Kuala Terengganu, KPDNKK Terengganu merampas 377 berus cat dipercayai diperbuat daripada bulu babi bernilai RM2,768, hari ini.

Pengarah KPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samat, berkata dalam operasi pemeriksaan di seluruh negeri ini, pihaknya hanya menemui berus cat terbabit dijual di dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman.

Katanya, sebanyak tujuh premis perniagaan diperiksa di dua daerah berkenaan sebelum pihaknya menemui sebanyak 300 unit berus cat dipercayai diperbuat daripada bulu babi di Dungun manakala 77 unit di Kemaman.

Pemeriksaan di negeri ini mendapati kebanyakan premis menjual berus cat berjenama Selly, Carlo, Cata, Oto dan Gold Liner yang diperbuat daripada bulu kuda, kambing dan fiber.

"Tiada rampasan dilakukan di Kuala Terengganu dan Besut namun KPDNKK menasihatkan peniaga supaya membuat penandaan yang jelas dan tidak mencampurkan berus cat berkenaan dengan yang lain," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

PENGARAH KPDNKK Pahang, Shahruddin Jali (dua dari kanan) memeriksa berus cat pelbagai jenis dipercayai diperbuat daripada bulu babi di sebuah premis di Jalan Kuantan-Gambang. - Foto Zulkepli Osman
PENGARAH KPDNKK Pahang, Shahruddin Jali (dua dari kanan) memeriksa berus cat pelbagai jenis dipercayai diperbuat daripada bulu babi di sebuah premis di Jalan Kuantan-Gambang. - Foto Zulkepli Osman

Di Kuantan, sebanyak 30 berus cat bulu babi dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang dalam operasi di empat premis di sekitar daerah ini, hari ini.

Pengarahnya, Shaharudin Jali, berkata pihaknya giat menjalankan operasi di semua premis di seluruh daerah di negeri ini bagi mengenal pasti barangan berkenaan dijual mengikut perintah perihal dagangan.

Hasil serbuan yang dijalankan, kita mendapati berus cat bulu babi dijual tanpa meletakkan label berkaitan dan penjual tidak mengasingkan berus cat berkenaan daripada barangan lain.

"Kesalahan tidak meletakkan tanda harga turut dikenal pasti di premis yang diperiksa pada hari ini...peniaga premis berkenaan dikenakan kompaun atas kesalahan itu dan barangan terbabit dirampas untuk siasatan lanjut," katanya ditemui selepas mengetuai operasi pemeriksaan berus babi di satu premis di Jalan Tanah Putih, di sini, hari ini.

PENOLONG Ketua Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Ahmad Sabri Suri menunjukkan berus cat yang disyaki menggunakan bulu babi ketika operasi mengesan penjualan berus berkenaan di Pekan Kangar. - Foto Azhar Ramli
PENOLONG Ketua Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Ahmad Sabri Suri menunjukkan berus cat yang disyaki menggunakan bulu babi ketika operasi mengesan penjualan berus berkenaan di Pekan Kangar. - Foto Azhar Ramli

Di Kangar, KPDNKK Perlis merampas 21 berus cat bulu babi dari dua premis dalam dua serbuan Ops Berus di sini hari ini.

Penolong Ketua Penguatkuasa, Ahmad Sabri Mohd Suri, berkata pelaksanaan operasi ini adalah bagi mengesan premis yang melakukan kesalahan dengan tidak mempamerkan label dengan jelas hingga boleh mengelirukan pembeli.

Katanya, pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menyerbu tiga premis dan mendapati dua premis menjual berus cat disyaki bulu babi.

"Sebanyak 21 berus yang bernilai RM93.50 akan dihantar ke Jabatan Kimia dan sekiranya ia disahkan berus cat bulu babi, peniaga akan didakwa mengikut Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu kesalahan tidak mempamerkan label dengan jelas.

"Serbuan ini dilakukan di Kangar dan kami akan terus melakukan operasi bagi memastikan tiada mana-mana peniaga yang sengaja melanggar peraturan yang sudah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi di premis perkakasan binaan di sekitar bandar ini.

TIMBALAN Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Saiful Bahri Abdul Kadir (tengah) memeriksa berus cat yang disyaki diperbuat daripada bulu babi di kedai perkakas binaan dan kedai runcit hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Saiful Bahri Abdul Kadir (tengah) memeriksa berus cat yang disyaki diperbuat daripada bulu babi di kedai perkakas binaan dan kedai runcit hari ini. - Foto BERNAMA

Di Seremban, KPDNKK Negeri Sembilan merampas sebanyak 500 berus pelbagai jenis, dipercayai diperbuat daripada bulu babi di premis sekitar bandar ini, hari ini.

Operasi bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang tadi, disertai oleh seramai 30 penguat kuasa KPDNKK.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Saiful Bahri Abdul Kadir, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan di 23 kedai runcit dan perkakas binaan.

Daripada jumlah itu katanya, 12 premis disyaki menjual berus yang diperbuat daripada bulu babi dan berus yang mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf.

"Sebanyak 500 berus yang dirampas itu, terdiri daripada pelbagai saiz, jenama dan bentuk yang keseluruhannya bernilai RM3,000," katanya pada sidang media di Seremban 2 di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata, semua berus itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAIPs, Mohd Al Hafiz Abdul Aziz, berkata pihaknya akan menggunakan pendekatan penerangan dari premis ke premis bagi mengelak penjualan berus cat yang diperbuat daripada bulu babi tanpa label.

"Cara ini (premis ke premis) adalah lebih cepat dan berkesan berbanding kita mahu semua peniaga datang ke jabatan agama," katanya.

Pengguna dinasihatkan membuat laporan terus kepada KPDNKK melalui hotline 1-800 886 800 atau http://www.kpdnkk.gov.my jika terdapat masalah berhubung perkara itu.

Berita Harian X