Rabu, 25 Januari 2017 | 6:57pm

TPP: China perlu ubah dasar perdagangan dan sektoral

TIMBALAN Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jamal Othman. - Foto Nurul Shafina Jemenon
TIMBALAN Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jamal Othman. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: China dibimbangi tidak bersedia menerima terma kerjasama Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sedia ada kerana pelbagai dasar dalaman republik itu bercanggah dengan agenda yang diperjuangkan dalam perjanjian berkenaan.

Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jamal Othman, berkata dasar dalaman China, termasuk pelaksanaan halangan perdagangan bukan tarif masih tinggi, sekali gus menjadi sekatan untuk TPP direalisasikan.

Sehubungan itu, katanya, reformasi substantif terhadap dasar perdagangan dan sektoral republik itu perlu dilakukan jika China ingin menganggotai TPP berdasarkan terma sedia ada.

"Jika tiada pengubahsuaian dilaksanakan, saya ragu China bersedia menerima semua terma yang digariskan dalam TPP," katanya dalam kenyataan kepada BH, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Australia dan New Zealand menyuarakan harapan untuk menyelamatkan TPP dengan menarik China dan negara Asia lain menyertainya susulan penarikan diri Amerika Syarikat (AS) menerusi arahan eksekutif yang ditandatangani Presidennya, Donald Trump, Isnin lalu.

Jamal menyifatkan TPP ialah perjanjian kerjasama ekonomi yang dilihat sebagai mercu tanda bagi corak dan piawaian perdagangan dunia pada abad ke-21.

Perjanjian membabitkan 12 negara itu, katanya, bersandarkan citra generasi akan datang yang menginginkan ketelusan, disiplin, persaingan sihat dan amalan perdagangan terbaik.

"Menerusi TPP, semua negara termasuk AS akan meraih keuntungan walaupun dengan kadar berbeza. China juga dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan perjanjian ini, justeru mereka tidak pernah menyuarakan protes ketika ia dipersetujui negara anggota.

"China adalah negara anggota Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang dijangka menikmati peningkatan dalam eksport dan peluang pelaburan berikutan peningkatan pendapatan negara anggota TPP," katanya.

Pelaksanaan TPP tanpa AS, katanya, akan menyebabkan kuasa besar itu berdepan kerugian lebih tinggi berbanding China, manakala anggota TPP lain akan terus menikmati manfaat positif walaupun dengan kadar lebih rendah.

Beliau berkata Malaysia akan mengalami kerugian daripada aspek potensi eksport yang lebih luas di AS menerusi peluang dijana TPP.

"Sekiranya China menggantikan AS dalam TPP, kerugian yang akan dialami AS dijangka lebih ketara, manakala manfaat ekonomi kepada negara anggota lain saya fikir kurang signifikan terutama terhadap Malaysia kerana China ketika ini sudah menjadi anggota ACFTA," katanya.

Berita Harian X