Rabu, 18 Januari 2017 | 1:29pm

Rasuah: Kedah larang main golf

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah melarang penjawat awamnya terutama berjawatan tinggi bermain golf di luar negara bagi mengelak risiko jenayah rasuah.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Foto Amran Hamid
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Foto Amran Hamid

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, mengumumkan larangan itu ketika menyampaikan amanat sempena Perutusan Tahun Baru 2017, di Dewan Seri Negeri, sebentar tadi.

Langkah itu, katanya, adalah langkah pengukuhan integriti dalam kalangan penjawat awam di Kedah.

"Larangan bermain golf di luar negara atau pakej bermain golf bersama kontraktor, pembekal atau orang berkepentingan semasa waktu pejabat ini dikenakan bagi semua pegawai tinggi jabatan dan agensi negeri.

"Imej pentadbiran negeri dan persekutuan yang ada di Kedah bukan sahaja perlu dilihat bersih, sifar rasuah, cekap lagi efisien, malah mestilah menjauhi sebarang tindakan yang bercanggah undang-undang.

"Laksanakanlah amanah secara luhur, malah integiri perlu dipertahankan bagi mengukuhkan kredibiliti. Jauhi amalan rasuah dan gaya hidup mewah seperti saranan Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)sebelum ini," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, mengingatkan penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi untuk menghentikan serta-merta aktiviti bermain golf di luar negara kerana tindakan itu akan cenderung kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

KERAJAAN negeri Kedah larang penjawat awamnya terutama berjawatan tinggi main golf di luar negara bagi elak rasuah. - Foto hiasan
KERAJAAN negeri Kedah larang penjawat awamnya terutama berjawatan tinggi main golf di luar negara bagi elak rasuah. - Foto hiasan

Berita Harian X