Selasa, 10 Januari 2017 | 4:15pm

Air dalam pasu bunga berkocak, meja goyang

KOTA KINABALU: "Meja bergoyang dan sedikit bergerak menyebabkan kami panik sebelum bergegas keluar dari pejabat," kata Marlina Kamaruddin, 26.

Beliau yang juga kakitangan swasta di KK Times Square, berkata walaupun gegaran itu tidak lama, kesannya kuat sehingga barang dalam pejabat bergegar selain mereka berasa pening.

"Ini adalah pengalaman kali kedua yang pernah dirasai selepas gempa bumi di Ranau pada Jun 2015," katanya ketika ditemui BH di sini hari ini.

Kakitangan Bahagian Lanskap, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah, Irwan Ibno, 27, berkata dia dan beberapa rakannya berada di dalam pejabat ketika kejadian.

LEBIH 100 orang pekerja meninggalkan bangunan ibu pejabat Bank Simpanan Nasional sejurus merasai gegaran akibat gempa bumi di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin
LEBIH 100 orang pekerja meninggalkan bangunan ibu pejabat Bank Simpanan Nasional sejurus merasai gegaran akibat gempa bumi di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

"Tiba-tiba saya nampak air di dalam pasu bunga di atas meja berkocak dan kehilangan keseimbangan badan menyebabkan saya terjatuh.

"Selepas menyedari ia adalah gempa bumi, kami terus berlari meninggalkan pejabat di tingkat empat ke perkarangan luar bangunan bagi mendapatkan perlindungan di tempat yang lebih selamat," katanya di Bangunan KK Times Square.

Di Tawau, kakitangan awam di bangunan Wisma Persekutuan turut merasai beberapa kali gegaran sebelum keluar ke kawasan lapang bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Kakitangan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suhaila Tukiman, 30, berkata, sebanyak tiga gegaran dirasai di pejabatnya di tingkat enam bangunan terbabit.

"Saya sedar berlaku gegaran apabila meja di pejabat bergegar, diikuti beberapa peralatan di dinding.

"Gegaran kali ketiga selama hampir 15 saat membuatkan saya dan rakan sepejabat bergegas turun menggunakan tangga," katanya.

Selain di Kota Kinabalu dan Tawau, gegaran turut dirasai di Labuan susulan gempa bumi berskala 7.3 skala Richter yang berpusat di Laut Sulawesi, selatan Filipina, kira-kira 466 kilometer (km) di timur laut Semporna pada jam 2.13 petang tadi.

SEBAHAGIAN orang ramai berkumpul di luar bangunan selepas berlaku gegaran kira-kira jam 2.13 petang tadi di Kompleks Ujana Kewangan Labuan. - Foto Azri Onn
SEBAHAGIAN orang ramai berkumpul di luar bangunan selepas berlaku gegaran kira-kira jam 2.13 petang tadi di Kompleks Ujana Kewangan Labuan. - Foto Azri Onn
SEBAHAGIAN orang ramai berkumpul di luar bangunan yang menempatkan pejabat agensi kerajaan dan Hotel Purnama selepas berlaku gegaran di Limbang, petang ini. - Foto ihsan Bomba
SEBAHAGIAN orang ramai berkumpul di luar bangunan yang menempatkan pejabat agensi kerajaan dan Hotel Purnama selepas berlaku gegaran di Limbang, petang ini. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memantau keadaan di luar bangunan yang menempatkan pejabat agensi kerajaan dan Hotel Purnama selepas satu gegaran di Limbang, petang ini. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memantau keadaan di luar bangunan yang menempatkan pejabat agensi kerajaan dan Hotel Purnama selepas satu gegaran di Limbang, petang ini. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X