Jumaat, 6 Januari 2017 | 5:02pm

Hospital Selayang terima mesin Angio-CT Hibrid

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam melihat mesin Angio-CT Hibrid pada Majlis Perasmian Unit Angiografi dan Mesin Angio-CT Hibrid di Hospital Selayang, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam melihat mesin Angio-CT Hibrid pada Majlis Perasmian Unit Angiografi dan Mesin Angio-CT Hibrid di Hospital Selayang, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

SELAYANG: Hospital Selayang hari ini menerima satu unit mesin Angio-CT Hibrid, iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi meningkatkan keupayaan rawatan pelbagai penyakit melalui kaedah intervensi radiologi.

Unit dan mesin bernilai RM10 juta itu adalah bagi menggantikan unit angiografi di hospital itu yang sudah digunakan kira-kira 16 tahun lalu dan kini sudah rosak dan tidak lagi dapat dibaiki.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata mesin itu menggunakan teknologi baharu menggabungkan dua teknologi, iaitu angiografi dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Melalui mesin baharu itu, katanya, ketepatan diagnosis dan rawatan bagi penyakit tertentu seperti kanser dan tumor, khususnya bagi kes rawatan yang kompleks, dapat dipertingkatkan.

"Sebagai contoh, mesin ini dapat mengesan bahagian yang diserang kanser dengan lebih tepat dan memasukkan ubat di kawasan itu sahaja, selain boleh memudahkan proses menutup saluran darah bagi mengecilkan tumor.

"Kadar kejayaan sesuatu operasi, penyembuhan pesakit boleh dipertingkatkan, selain jumlah pesakit yang perlu melalui pemeriksaan CT Scan dan angiografi meningkat daripada lima orang sehari kepada 10 orang sehari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Unit Angiografi dan Mesin Angio-CT Hibrid di Hospital Selayang di sini, hari ini.

Berita Harian X