Rabu, 28 Disember 2016 | 4:45pm

Polis perketat kawalan keselamatan sempena VBT2017

TIMBALAN EXCO Pelancongan 1, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (dua kanan) melawat tapak majlis Pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
TIMBALAN EXCO Pelancongan 1, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (dua kanan) melawat tapak majlis Pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kontinjen Terengganu mempertingkatkan kawalan keselamatan dan rondaan, bagi menjamin keselamatan pelancong sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT2017).

Ketua JPKK, Asisten Komisioner Redzuan Abd Hamid, berkata kawalan keselamatan itu membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URV) dan Unit Pelancongan.

"Semua unit ini akan ditempatkan di seluruh negeri di bawah seliaan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan 17 anggota di bawah unit URV.

"Mereka akan membuat pemantauan sepanjang masa di kawasan tumpuan pelancong dan beberapa lokasi awam lain yang sudah ditetapkan," katanya ditemui selepas program 'Mereka Tetap Ceria Ke Sekolah' anjuran syarikat perkhidmatan dan percetakan, Mextec Corporation (M) Sdn Bhd (MEXTEC), di pasar raya besar Mydin, di sini, hari ini.

Seramai 30 anak yatim dan asnaf dari daerah Dungun dibawa ke pasar raya besar itu untuk membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan, yang disumbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), MEXTEC dan Mydin.

Redzuan berkata, kes jenayah membabitkan pelancong asing di negeri ini tidak membimbangkan dan masih terkawal.

"Tidak dinafikan ada berlaku jenayah membabitkan pelancong, tetapi kes seumpamanya tidak banyak kerana kita mempunyai unit khas yang sentiasa menjalankan pemantauan.

"Melalui unit yang akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan sepanjang 2017, mereka bukan saja ditugaskan untuk menjaga keamanan dan keselamatan orang awam, tetapi juga membantu memberikan maklumat kepada pelancong," katanya.

Berita Harian X